Pasangan rakyat Malaysia ditahan tawar homestay haram di Songkhla - Dunia | mStar

Pasangan rakyat Malaysia ditahan tawar homestay haram di Songkhla

SONGKHLA: Pasangan rakyat Malaysia ditahan kerana menjalankan operasi inap desa secara tidak sah di daerah Hat Yai.

Ketua Imigresen Songkhla, Kolonel Chutharet Yingyongdamrongsakul bersama pasukan pegawainya telah menggeledah tiga premis komersial yang terletak di bangunan Jalan Punnakan, kawasan Khohong.

Tindakan itu diambil susulan maklumat yang diperoleh mengenai adanya warga Malaysia menyediakan khidmat inap desa, malahan turut mengiklankan bilik yang ditawarkan kepada pelancong dari negara jiran terutama Malaysia dan Singapura.

Susulan itu, pengusaha terlibat, Then Hiang Leong, 57 dan isterinya, Heng Shop Houi, 53 telah ditahan selepas pasukan penguatkuasa mengesahkan bangunan tiga tingkat itu tiada permit untuk beroperasi sebagai hotel atau perkhidmatan penginapan.

Siasatan mendapati bilik yang ditawarkan telah dihias umpama penginapan di hotel di mana setiap unit mempunyai tiga bilik tidur.

Pasangan itu mengenakan bayaran antara 2,600 dan 2,860 baht sehari.

Pemeriksaan lanjut ke atas pasangan itu juga menunjukkan mereka telah memasuki negara ini atas visa pelancong.

Suami isteri itu telah didakwa kerana bekerja tanpa permit dan akan dihantar pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.-BangkokPost

Jalan Punnakan , Songkhla , homestay

Artikel Sebelum

Artikel Lain