suria

Taufan Trami: Rakyat Jepun diuji lagi, ada yang maut, cedera dan hilang

Bencana Taufan Trami mengakibatkan pokok tumbang di laluan berhampiran stesen kereta api di Tokyo.

TOKYO: Sekali lagi diuji, Jepun dibadai Taufan Trami pada Ahad hingga mengorbankan dua nyawa serta ratusan cedera, selain menjejaskan sistem pengangkutan awam negara itu pagi ini.

Walaupun telah meninggalkan Jepun, namun angin kencang dan hujan lebat menyebabkan kerosakan pada jalan utama dan laluan kereta api.

Setakat ini, pegawai tempatan dan polis mengesahkan dua maut, masing-masing kerana tanah runtuh di barat Tottori dan lemas di Yamanashi, barat Tokyo.

Kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai meninggal dunia pada Ahad, apabila Trami melanda barat Jepun.

Menurut agensi penyiaran rasmi NHK, bencana itu turut menyebabkan dua penduduk dilaporkan hilang dan mencederakan lebih 120 lagi.

Trami mula membadai Jepun malam tadi, membawa bersama angin kencang dan hujan lebat di kawasan yang sebelum ini sedia terjejas akibat siri cuaca buruk.

Taufan itu juga mengganggu operasi pengangkutan awam di negara ekonomi ketiga terbesar dunia itu apabila perkhidmatan kereta api laju dan kereta api malam dihentikan sementara serta lebih 1,000 penerbangan terpaksa dibatalkan.

Huru hara itu berlanjutan pagi ini berikutan bekalan elektrik masih terputus manakala landasan kereta api terhalang oleh pokok yang tumbang dan kira-kira 200 penerbangan kekal dibatalkan.

Lebih 400,000 isi rumah, kebanyakannya di timur Jepun turut dilaporkan bergelap pagi ini kerana bekalan elektrik masih terputus. - AFP

Trami, Jepun

Artikel Lain