suria

Wanita hamil kembar anak patung 9 bulan, tapi selepas 'kantoi'...

SEORANG wanita muda dijangka mendapat anak kembar dengan pasangannya, Melvin Mendoza.

Perut Rosa Castellanos Diaz dari sebuah kampung di El Coyolar, Honduras bukan sahaja nampak besar, malah dia telah menunjukkan gambar pemeriksaan ultrasound kepada orang sekelilingnya.

Jumaat lepas, apabila tiba waktu untuk dia bersalin, bakal ibu itu menaiki bas ke ibukota Tegucigalpa untuk melahirkan bayi di Hospital Escuela.

Walau bagaimanapun, pada sebelah malamnya, dia menghubungi Melvin dengan berita yang menyayat hati apabila memberitahu salah seorang kembar meninggal dunia ketika bersalin dan seorang lagi harus tinggal di hospital untuk menerima rawatan khas.

Pada Sabtu, Rosa kembali ke El Coyolar dengan sebuah peti kecil untuk upacara pengebumian yang diuruskan oleh teman lelaki dan sanak saudaranya.

Apabila orang ramai mahu melihat bayi itu, wanita itu memberitahu mereka bahawa peti tersebut telah dibungkus oleh hospital dan dia telah diarahkan untuk tidak membukanya.

Upacara itu diteruskan seperti yang dirancang, dengan semua orang menyatakan kesedihan mereka dan memberi penghormatan kepada pasangan itu yang sedang bersedih.

Melvin sangat sedih sehingga dia terpaksa dibantu oleh kawan-kawan ketika melihat anaknya dikebumikan.

Selepas pengebumian, semua orang memberi perhatian kepada kembar yang masih berjuang untuk hidup di Hospital Escuela.

Walau bagaimanapun, bagi sesetengah orang, mereka merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kisah Rosa.

Ramai teman Melvin mengesyaki bahawa wanita itu menjadikan kehamilannya sebagai alasan untuk mengekalkan hubungan mereka lebih lama.

"Segalanya nampak serba tak kena," kata Ismael Mejia, rakan kepada Melvin.

"Jadi pada waktu malam kami pergi ke tanah perkuburan untuk menggalinya. Kami terkejut melihat di dalamnya adalah anak patung, berpakaian seperti kanak-kanak."

Rakan-rakan Melvin merakamkan penemuan yang mengejutkan itu dengan telefon bimbit sebagai bukti penipuan Rosa.

Mereka kemudian membawa keranda dan video itu untuk ditunjukkan kepada polis serta memulangkan anak patung tersebut kepada Rosa untuk menunjukkan bahawa mereka telah tahu tentang penipuannya.

Menghairankan, selepas mengetahui perangai pelik teman wanitanya, Melvin langsung tidak memarahi Rosa dan meminta pihak polis tidak meneruskan tindakan selanjutnya terhadapnya.

Walaupun masih belum disahkan, berdasarkan penemuan aneh itu, kemungkinan besar bayi kedua tidak wujud.

Kejadian aneh ini menunjukkan 'kuasa' kasih sayang kadang-kadang mengatasi segalanya. -La Prensa

anak patung, hamil

Artikel Sebelum

Artikel Lain