suria

Kecemasan Paksa Doktor Bedah Guna Cahaya Lampu Suluh

VIDEO yang merakam insiden di mana seorang wanita di Bihar, India dibedah hanya menggunakan bantuan cahaya lampu suluh berikutan masalah gangguan bekalan elektrik telah tular.

Kejadian mengejutkan itu berlaku di Hospital Sadar di Saharasa. Bagaimanapun tarikh sebenar tidak diketahui.

Menerusi video itu, seorang wanita yang dalam keadaan tidak sedar  dilihat sedang baring atas katil, manakala seorang doktor yang memakai kemeja warna khaki sedang menjahit luka pada tangan kanannya.

Berikutan masalah bekalan elektrik, pembedahan itu dijalankan menggunakan cahaya lampu suluh telefon bimbit dipercayai milik petugas hospital berkenaan.

Menurut laporan media tempatan, pesakit itu memerlukan rawatan segera dan doktor terpaksa menjalankan pembedahan walaupun dalam keadaan terputus bekalan elektrik.

Susulan kejadian itu, Menteri Kesihatan Bihar, Mangal Pandey meminta laporan lengkap insiden itu diserahkan kepadanya.

"Pesakit itu cedera dan lukanya perlu dijahit. Tiada proses pembedahan dilakukan. Saya telah minta laporan lengkap kejadian itu, ia tidak sepatutnya berlaku," jelasnya kepada ANI selepas ia menjadi perbualan ramai.

Hospital berkenaan tidak mempunyai generator untuk menyediakan bekalan elektrik jika berlaku gangguan, berikutan itu cahaya lampu suluh telefon bimbit terpaksa menjadi alternatif ketika kecemasan.

Pada April 2016, video di daerah Mau, Uttar Pradesh menjadi tular apabila seorang doktor membedar pesakit kanak-kanak menggunakan cahaya telefon bimbit.-IndiaToday

Saharasa, Bihar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain