suria

Datuk Bandar Dipasung Penduduk, Tertipu Dengan Jemputan Perasmian

-foto Radio Fides

DI kebanyakan negara, satu-satunya cara untuk menghukum ahli politik kerana tidak melakukan kerja mereka dengan betul adalah dengan tidak mengundi mereka dalam pilihan raya akan datang.

Tetapi di Bolivia, mereka mempunyai pilihan lain yang dipanggil 'keadilan sosial'.

Penduduk di San Buenaventura, sebuah bandar kecil di Bolivia Utara, baru-baru ini memanfaatkan hak perlembagaan mereka untuk keadilan sosial dengan meletakkan Datuk Bandar, Javier Delgado, dalam pasung selama satu jam.

Ia dilakukan bagi menunjukkan bahawa mereka tidak puas hati dengan khidmatnya.

Foto-foto memalukan Datuk Bandar sedang duduk di atas tanah dengan satu kaki diletakkan dalam lubang kerangka kayu sambil dikelilingi penduduk bandar yang marah dengan dirinya tular di media sosial selatan Amerika sejak lewat Februari.

Pada 25 Februari, Delgado sepatutnya merasmikan jambatan yang dibina dengan dana negeri dan perbandaran, tetapi apabila dia sampai ke tapak tersebut, dia terkejut mendapati orang ramai bukan menunggunya untuk majlis perasmian itu, tetapi untuk memberikannya satu pengajaran.

-foto Radio Fides

Tanpa menjelaskan kenapa dia dihukum, mereka hanya memegang Delgado dan meletakkannya di pasung.

"Mereka tak beri saya peluang untuk tahu mengapa saya dihukum, tetapi saya tidak menimbulkan bantahan sebab tahu risikonya akan meningkat," kata Datuk Bandar kepada La Razon.

"Kemudian, mereka beri saya peluang beri penjelasan dan kemudian memohon maaf kepada saya, kerana mereka menganggapnya satu salah faham dan telah dimanipulasi oleh orang-orang ini."

'Orang-orang ini' yang dimaksudkan Delgado adalah musuh politiknya dan usahawan tempatan yang cuba menjatuhkannya selama dua tahun berkhidmat kepada masyarakat.

Bagaimanapun, Daniel Salvador, yang berasal dari San Buenaventura, memberitahu Radio Fides bahawa Delgado dihukum kerana tidak memenuhi komitmennya kepada masyarakat setempat, berbohong kepada mereka dan tidak menjadikan mereka satu keutamaan.

Ini adalah kali ketiga Delgado berdepan keadilan sosial selama dua setengah tahun berkhidmat.

pasung, Datuk Bandar, keadilan sosial

Artikel Lain