suria

Pinggang 'Kecut' Selepas Pakai Korset 23 Jam Sehari

APABILA veteran Tentera Laut Diana Ringo, 39, dari Chula Vista, California melahirkan anak kembarnya tiga tahun lalu, dia tidak berpuas hati dengan bentuk badannya.

Diet dan senaman sahaja tidak memberikan hasil yang diingini, jadi dia mengambil inisiatif lain untuk mengecilkan pinggangnya.

Dia kini memakai korset ketat selama 23 jam sehari, hanya membukanya untuk mandi atau bersenam.

Hasilnya, ibu kepada tiga anak itu kini mempunyai pinggang berukuran 18 inci berbanding 27 inci sebelum ini.

Bentuk badan Ringo sebelum memakai korset.

"Bila saya pakai korset, saya rasa begitu seksi. Saya secara semula jadi berasa begitu seksi sekali gus meningkatkan keyakinan diri dan buat saya selesa," kata Ringo kepada Barcroft TV dalam rancangan Hooked on the Look.

"Saya tidak gembira dengan badan saya sebelum ini kerana saya gemuk. Gemuk itu tidak salah tetapi bentuk badan saya tidak feminin.

"Bentuk badan saya jadi seperti lelaki dan saya tidak sukakan bentuk itu," katanya.

Ringo, yang kini bekerja sebagai tukang masak tentera laut, mempunyai koleksi lebih daripada 45 helai korset bernilai AS$1,955 untuk membantu mengekalkan bentuk pinggangnya yang ramping.

"Bila saya tak pakai korset, terasa macam tidak pakai coli. Anda rasa lega, tetapi saya tetap mahu memakainya semula kerana sudah terbiasa.

"Sekarang berat saya sekitar 60kg," tambahnya.

"Saiz pakaian saya adalah sekitar 2-4, tetapi saya perlu tonjolkan ukuran pinggang ramping yang saya ada walaupun kadang-kadang ia nampak seperti satu kegilaan."

Pada mulanya, suami Ringo, Brett, seorang pegawai tentera laut berusia 33 tahun, prihatin dengan senaman pinggangnya yang ketat.

Dia tidak mahu isterinya mempunyai pinggang yang lebih kecil.

"Mula-mula saya bimbang dengan kesihatannya apabila pulang dari bertugas. Saya minta dia jumpa doktor," kata Brett kepada Barcroft TV.

"Jadi, dia pergi untuk diperiksa dan doktor kata 'semuanya baik.' Saya tidak fikir dia sudah bertindak 'terlalu jauh'.

"Kami bersetuju cukuplah mempunyai pinggang bersaiz ini.

"Amalan itu telah meningkatkan keyakinan dirinya. Isteri bahagia, hidup bahagia. Jadi, ini membuatkan dia bahagia," tambahnya.

Walaupun Ringo mendakwa tidak mengalami sebarang kesan atau komplikasi kesihatan yang buruk, apa yang dilakukannya dianggap bahaya oleh profesional perubatan kerana ia boleh menyebabkan kerosakan organ dan tulang belakang apabila diamalkan dalam jangka waktu yang lama.

Pengamal juga berdepan risiko masalah pencernaan yang disebabkan oleh sekatan ke abdomen, masalah rahim, terutamanya jika dipakai semasa kehamilan dan membawa kepada sakit belakang.

Ini hanya sebahagian daripada risiko kesihatan bagi yang mengamalkannya.

"Saya akan buat apa yang saya mahu," kata Ringo.

"Saya seorang wanita dewasa dan saya membayar cukai. Paling penting saya buat apa yang membuatkan saya gembira kerana jika saya gembira, maka suami saya juga gembira," kata wanita itu.

"Ini penting untuk saya kerana ia membuatkan saya berasa selesa dan seksi."

Ringo bukan satu-satunya yang sanggup memakai korset setiap masa untuk mengekalkan bentuk badan yang diidamkan.

Pada tahun 2015, seorang model Venezuela Aleira Avendano juga memakai korset selama 23 jam sehari untuk mengekalkan ukuran pinggangnya 20 inci.

korset, pinggang ramping

Artikel Sebelum

Artikel Lain