suria

Jutaan Penduduk Yemen Kebuluran Ketika Ramadan

SEORANG doktor merawat kanaka-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat badan di sebuah hospital di bandar Hodeidah pada 2 Mei 2017. - AFP

KETIKA umat Islam di seluruh dunia menikmati makanan yang lazat ketika berbuka puasa, berjuta-juta penduduk Yemen menderita kebuluran akibat kekurangan makanan ekoran perang yang melanda negara itu sejak dua tahun lalu.

Menurut agensi kemanusiaan, kira-kira 17 juta penduduk tidak mendapat makanan yang mencukupi, situasi yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan terbesar dunia.

Kebiasaannya, orang ramai akan membeli-belah ketika Ramadan tetapi bagi peniaga di Yemen, tiada apa yang boleh disambut.

"Jualan yang dicatatkan paling rendah berbanding tahun sebelum ini. Setiap tahun catatan jualan semakin buruk," kata Yahya Hubar, seorang peniaga di Hodeidah, barat Yemen.

Lebih dua juta kanak-kanak mengalami masalah kekurangan zat yang teruk sehingga menyaksikan seorang kanak-kanak berusia bawah lima tahun meninggal dunia dalam tempoh setiap 10 minit akibat dijangkiti penyakit yang boleh dirawat, lapor PBB pada Disember.

Selain itu, negara terbabit berdepan gejala penyakit tahun yang setakat ini telah menjangkiti lebih 29,000 orang.

Disebabkan itu, mereka tidak lagi memikirkan masakan istimewa dan menikmati kemeriahan bulan Ramadan, sebaliknya mahu mengisi perut masing-masing.

"Situasi kami semakin sukar. Kami tidak dibayar sejak beberapa bulan lalu. Barang keperluan semakin sukar didapati dan harga semakin mahal.

"Kami hanya mampu melihat barang yang tidak boleh dibeli," katanya Nabil Ibrahim, seorang lagi penduduk Hodeidah.

Tahun ini merupakan tahun ketiga penduduk Yemen mengharungi Ramadan dalam suasana perang yang menyaksikan majoriti penduduk memiliki akses yang terhad untuk mendapatkan ubatan serta makanan.

"Penduduk Hodeidah hidup dalam suasana tragik.

"Ramadan tiba ketika ramai orang menderita akibat tidak mendapat gaji, tiada bekalan elektrik, tiada bekalan air dan sekatan demi sekatan ekoran perang yang berterusan di Yemen," kata Sadeq Al Saeedi, seorang pekerja kebajikan. - AL JAZEERA

Yemen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain