suria

Kereta Api Tergelincir Di India, Dua Penumpang Maut

GAMBAR fail bertarikh 20 November 2016 merakamkan usaha pasukan penyelamat mencari mangsa yang terperangkap dalam gerabak ekoran nahas kereta api tergelincir di daerah Dehat dekat negeri Uttar Pradesh, India. - AP

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 28 penumpang cedera apabila sebuah kereta api tergelincir di utara India, tidak jauh dari lokasi nahas sama yang mengorbankan 146 nyawa.

Kejadian itu berlaku di Kanpur, negeri Uttar Pradesh apabila lebih 12 buah gerabak kereta api ekspres tergelincir.

Ketua Inspektor Polis, Zaki Ahmad berkata, beberapa gerabak bertindih antara satu sama lain ekoran kejadian tersebut.

"Kami mengesahkan kematian dua penumpang dan 28 lagi mangsa cedera yang kini dirawat di beberapa hospital di Kanpur.

"Kejadian itu berlaku pukul 5.30 pagi. Selain 28 mangsa yang cedera, ada juga penumpang yang hanya mengalami luka ringan," katanya.

Menteri Perkhidmatan Kereta Api India, Suresh Prabhu berkata, pegawai kanan kementeriannya telah dikerah ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

"Bantuan perubatan telah diberikan kepada mangsa yang cedera selain segala bantuan logistik dikerah untuk usaha membantu dan menyelamat.

"Siasatan akan dilaksanakan bagi mencari punca sebenar kejadian," katanya menerusi kenyataan dalam laman sosial Twitter.

Pada bulan lalu, sekurang-kurangnya 146 orang maut apabila sebuah kereta api tergelindir di daerah yang sama.

Perkhidmatan kereta api India merupakan satu daripada rangkaian terpanjang di dunia, masih menjadi pengangkutan utama untuk perjalanan jarak jauh tetapi penyelenggaraan yang kurang baik sering mengundang tragedi.

Pada 2012, laporan kerajaan menjelaskan, hampir 15,000 orang terbunuh pada setiap tahun melibatkan rangkaian kereta api.

Difahamkan, kerajaan India telah menandatangani beberapa perjanjian dengan syarikat swasta untuk meningkatkan kualiti rangkaian kereta api di negara itu yang sudah usang.

Artikel Lain