suria

Bekas Wanita Pertama AS Meninggal Dunia

LOS ANGELES: Bekas Wanita pertama Amerika Syarikat, Nancy Reagan, meninggal dunia pada usia 94 tahun.

Isteri kepada bekas Presiden, Ronald Reagan itu menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami masalah kegagalan jantung di rumahnya di sini pada Ahad.

Jurucakapnya, Joanne Drake berkata, mendiang akan dikebumikan bersebelahan pusara suaminya di Perpustakaan Reagan di Simi Valley, California. 

Bekas presiden itu meninggal dunia pada 5 Jun 2004.

Susulan itu, orang ramai akan diberi peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di perpustakaan berkenaan.

Ketika usia emasnya, Reagan sering dikagumi dan mendapat pujian masyarakat kerana setia disamping suami yang menghidap penyakit Alzheimer hingga ke akhir hayat.

Nancy Reagan dilahirkan di New York dan ketika berusia enam tahun, ibunya, Edith yang juga seorang pelakon mengahwini pakar bedah saraf, Dr Loyal Davis.

Davis menjadikan Nancy anak angkatnya dan membesarkannya di Chicago sebelum menyambung pelajaran di Kolej Smith, Massachusetts dalam bidang teater.

Semasa bergiat aktif sebagai pelakon, beliau bertemu Ronald Reagan pada awal 1950-an sebelum berkahwin pada 4 Mac 1952.



Artikel Lain