suria

Jutawan Paling Ramai Di Asia Pasifik - Forbes

Bill Gates kekal sebagai individu terkaya dunia.

SINGAPURA: Individu bertaraf jutawan paling ramai di  Asia Pasifik pada 2016, dengan 590 orang, demikian menurut ranking terkini 30 Forbes bagi senarai tahunan jutawan dunia.

Ia diikuti Amerika Syarikat dengan seramai 540 jutawan, manakala Eropah mempunyai 489 jutawan.

Dalam terbitan 21 Mac 2016 majalah itu, Forbes menyenaraikan jutawan dari 67 negara dan wilayah tahun ini berbanding 70 pada 2015.

Ia berkata tahun ini, tiada jutawan dari Guatemala, Kuwait, Lithuania, St Kitts and Nevis dan Uganda.

"Kekayaan semakin meluas ke tempat baharu dunia, dengan Qatar, kini turut tersenarai," katanya.

Mengikut negara, Amerika Syarikat mendahului dengan bilangan terbesar jutawan, seramai 540, diikuti China (251), Jerman (120), India (84) dan Rusia (77).

California sahaja mempunyai 131 jutawan, termasuk sembilan pendatang baharu.

Secara individu, Forbes kata Bill Gates sekali lagi menngungguli sebagai orang paling kaya di dunia.

Pakar teknologi itu telah mendahului senarai selama 17 daripada 22 tahun lepas, dengan nilai aset bersih semasa US$75 bilion, turun daripada US$79.2 bilion pada 2015.

Peruncit pakaian Sepanyol, Amancio Ortega - yang terkenal atas rantaian fesyen Zara - di tempat kedua, meningkat dua kedudukan, dengan aset bersih meningkat sebanyak US$2.5 bilion kepada US$67 bilion.

Warren Buffett, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Berkshire Hathaway kekal di tempat ketiga, walaupun nilai aset bersihnya susut US$ 11.9 bilion kepada US$60.8 bilion.

Secara keseluruhannya, jumlah nilai bersih milik kesemua jutawan tahun ini sebanyak US$6.48 trilion, susut daripada US$7.05 trilion tahun lepas.

Secara kasarnya, Forbes berkata dua pertiga daripada mereka yang disenarai atau 1,186 orang, merupakan jutawan menerusi usaha sendiri, 228 mewarisi kekayaan, 396 lagi mewarisi sebahagian kekayaan dan mengembangkannya.

Mark Zuckerberg, pengasas laman web rangkaian sosial Facebook, buat pertama kali memasuki senarai 10 individu terkaya dunia, di tempat keenam.

Beliau meraih kekayaan terbesar dalam senarai 2016, dengan kekayaannya bernilai US$11.2 bilion menajdikan nilai bersih sebanyak US$44.6 bilion.

Menurut Forbes, 198 jutawan baharu memasuki senarai, susut berbanding 290 pendatang baharu pada 2015.

China mempunyai pendatang baharu paling ramai, menambah 70 individu ke dalam senarai, dengan 33 dari Amerika Syarikat dan lapan dari India, dengan Jerman menyumbang 28.

Pendatang baru penting termasuk jutawan termuda di dunia, Alexandra Andresen, 19, dan kakaknya Katharina Andresen, 20, dari Norway.

Forbes berkata 66 jutawan berusia di bawah 40 tahun ini.

Industri dengan kebanyakan pendatang baharu membabitkan sektor pembuatan dengan seramai 39, diikuti hartanah dan teknologi dengan 21 individu.

Secara keselruuhannya, 221 individu tercicir daripada kedudukan itu, manakala 29 meninggal dunia.

Senarai Forbes Billionaires merupakan catatan kekayaan yang diambil pada 12 Februari 2016, semasa harga saham dan kadar pertukaran ditutup dari seluruh dunia.

Forbes

Artikel Lain