suria

12 Mati Akibat Hipotermia Di Nepal Dalam Seminggu

KATHMANDU:  Sekurang-kurangnya 12 orang meninggal dunia akibat hipotermia dalam seminggu di ibu negara Nepal, Kathmandu apabila suhu sejuk menurun ke paras bawah 0 darjah Celsius.

Superintenden polis BP Pokhrel berkata 12 orang ditemukan mati di tempat berasingan di Kathmandu dalam tempoh seminggu akibat suhu sejuk melampau.

Pokhrel, yang juga jurucakap Pejabat Polis Metropolitan Kathmandu, berkata mereka yang mati merupakan golongan miskin dan gelandangan yang tinggal ditempat awam dan kaki lima, atau mangsa gempa bumi yang tinggal dalam khemah berikutan rumah mereka musnah dalam kejadian gempa bumi 25 April lalu.

Polis percaya lebih banyak kematian di seluruh negara berikutan suhu sejuk melampau yang berlaku sejak seminggu lepas.

Pokhrel berkata banyak daripada mangsa gempa bumi tinggal sama ada dalam khemah atau pondok sementara dan mereka lebih terdedah kepada suhu amat sejuk.

Menurut Jabatan Hidrologi dan Meteorologi (DHM), suhu minimum turun ke paras 0 darjah Celsius sejak seminggu lepas, yang terendah pada tahun ini, dan juga yang terendah dicatatkan dalam tempoh dua tahun.

Suhu terendah dicatatkan tahun lepas 1.4 darjah Celsius, menurut pegawai DHM Shanti Kandel.

"Kami akan menyaksikan suhu turun ke paras lebih rendah lagi bagisekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu lagi," katanya.

Kerajaan telah mula mengagihkan selimut dan pakaian panas kepada mangsa gempa bumi untuk menyelamatkan mereka daripada kesejukan, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Laxmi Prasad Dhakal.

Katanya mangsa gempa bumi terdiri daripada kanak-kanak dan warga tua berisiko tinggi dan langkah khas diambil untuk melindungi mereka daripada kesejukan. -Bernama

Hipotermia, Nepal

Artikel Sebelum

Artikel Lain