suria

Bintang Star Wars: The Force Awakens Hadiri Tayangan Perdana Di London

George Lucas (kanan) menandatangani autograf untuk para peminat filem Star Wars semasa melalui karpet merah pada majlis tayangan perdana di London.

PENCIPTA Star Wars, George Lucas dan pengarah filem, JJ Abrams menyertai barisan bintang filem terbaharu itu pada majlis tayangan perdana di London.

Lucas yang mencipta francais filem itu pada 1977 berkata: "Semua tayangan perdana sentiasa diadakan di London. Ia seperti pulang ke tempat sendiri bagi satu acara yang telah kami lakukan sejak 40 tahun tetapi kali ini menjadi yang terbesar setakat ini."

Abrams berkata, beliau terpegun sepanjang mengarahkan filem itu dengan berasa bertuah kerana menjadi sebahagian daripadanya.

Beliau yang memuji pendatang baharu, Daisy Ridley dan John Boyega berkata: "Dua pelakon ini begitu hebat, melihat mereka bersama sememangnya mengagumkan."

John Boyega (kanan) bersama 'Stormtrooper' yang merupakan watak filem Star Wars. Foto EPA

Harrison Ford yang kembali memegang peranan sebagai pengembara yang berani bernama Han Solo berkata, beliau berharap para peminat Star Wars akan menyukai filem tersebut.

"Saya rasa ia merupakan usaha yang berbaloi," katanya.

"Saya berasa amat bangga, terima kasih."

Ridley yang memainkan watak sebagai heroin filem bernama Rey menjerit kepada para peminatnya di karpet merah: "May the force be with all of you."

Beliau berkata, menghadiri majlis tayangan perdana itu merupakan "sesuatu yang amat istimewa kerana beliau berasal dari London menjadikan kehadirannya sesuatu yang indah.

Gelagat Harrison Ford melayani para peminat di karpet merah. Foto AFP

Pelakon warga Britain, Boyega yang memegang watak Finn dalam filem baharu itu tidak dapat menahan rasa terujanya kerana berada di London.

"Saya dari Peckham dan saya dalam filem Star Wars," katanya sambil menambah: "Saya di sini untuk meraikannya."

Mark Hamill yang memainkan peranan sebagai Luke Skywalker berkata, beliau berasa terharu.

"Sukar untuk percaya kegembiraan ini selepas bertahun-tahun," katanya.

Tambahnya, beliau mempunyai "pertalian yang sangat istimewa" buat London, dengan mendedahkan bahawa anak lelakinya dilahirkan di bandar raya itu semasa beliau membintangi filem 'The Empire Strikes Back'.

Daisy Ridley di karpet merah pada majlis tayangan perdana Star Wars: The Force Awakens di London. Foto Reuters

Pelakon Carrie Fisher yang turut hadir pada majlis tersebut meminta supaya filem baharu Star Wars menerima lebih banyak pengiktirafan daripada Oscars.

Pelakon dari Amerika Syarikat (AS) kembali memegang wataknya sebagai Princess Leia, menyertai pelakon asal Harrison Ford dan Mark Hamill bersama-sama dengan John Boyega dan Daisy Ridley di Leicester Square, London.

Pengkritik memuji filem 'Star Wars Episode VII: The Force Awakens' sebagai sesuatu yang mengagumkan kepada trilogi asal.

Fisher yang berada di karpet merah begitu memuji filem tersebut.

Ditanya sama ada filem itu seharunya dicalonkan pada Anugerah Academy sebagai filem terbaik, beliau berkata: "Ia merupakan filem yang sangat baik. Saya fikir ia perlu mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

"Sebahagiannya dibuat dengan begitu baik dan ia merupakan cerita yang terbaik."

Sekumpulan 'Stormtroopers' di karpet merah mencuri tumpuan ramai. - Foto EPA

Pelakon Warwick Davis yang membintangi dalam beberapa filem Star Wars terdahulu dan yang terbaharu tidak ketinggalan bergambar selfie bersama BB-8 di karpet merah.

Bintang-bintang filem itu yang turut dilihat melalui karpet merah termasuk Oscar Isaac, Adam Driver, Lupita Nyong'o, Domhnall Gleeson dan Gwendoline Christie.

Ramai peminat yang hadir pada acara itu berpakaian menarik, manakala ramai yang lain membawa 'pedang bercahaya' warna merah dan biru yang diterima semasa ketibaan mereka.

Filem baharu Star Wars yang memulakan tayangannya pada Khamis telah mencipta sejarah filem pecah panggung di United Kingdom (UK) apabila lebih setengah juta tiket dijual terjual pada minggu pembukaannya yang hanya melibatkan satu rangkaian pawagam.

Filem siri ketujuh Star Wars ini ditayangkan selepas filem terakhirnya 10 tahun lalu.

Para peminat yang menyaksikan tayangan filem di UK mendahului para peminat lain di Amerika Syarikat yang hanya akan ditayangkan di negara itu pada Jumaat. - The Telegraph

Star Wards

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain