suria

Pembantu Rumah Dedah Bekas Majikan Sentiasa Perhatikan Gerak-Gerinya

Thelma Oyasan Gawidan.

SINGAPURA: Bekas majikan seorang pembantu rumah warga Filipina yang dibiarkan kelaparan selama 15 bulan, sentiasa memerhati setiap gerak-gerinya dan tidak membenarkan mangsa bercakap dengan sesiapa.

Akibat perlakuan kejam itu, mangsa yang dikenali sebagai Thelma Oyasan Gawidan, 40, mengalami susut berat badan yang mendadak iaitu dari 49kg ke 29kg.

Ketika memberi keterangan di hari kedua pada Selasa, Gawidan mendakwa hanya makan mi segera dan roti kosong dua kali sehari.

Malah, dia turut tidak dibenarkan keluar rumah dengan sendiri dan tidak diberikan cuti rehat.

Gawidan juga berkata dia tidak menerima gaji bulanan manakala telefon bimbitnya disembunyikan pasangan suami isteri, Lim Choon Hong dan Chong Sui Foon, masing-masing berusia 47 tahun dari Januari 2013 hingga April tahun lalu.

Pasangan warga Singapura itu dibicarakan di mahkamah kerana gagal menyediakan makanan mencukupi kepada Gawidan.

Lim menghadapi satu tuduhan melanggar Peraturan Pengambilan Tenaga Kerja Asing (Permit Kerja) 2012.

Chong pula berdepan tuduhan bersubahat dengan Lim dalam melakukan kesalahan itu.

Gawidan memberitahu mahkamah bahawa dia dibenarkan menggunakan tandas di kondominium milik Lim di Orchard.

Namun selepas beberapa bulan, dia hanya dibenarkan menggunakan tandas awam bersebelahan dengan kolam renang.

"Walaupun saya ada kalanya terdesak menggunakan tandas, dia (Chong) akan menyuruh saya untuk menunggu dan akan menemani saya," katanya.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Tan Soo Tet sama ada dia hanya membeli makanan untuk diri sendiri, Gawidan berkata gaji bulanannya telah ditahan pasangan suami isteri itu.

Menurut Gawidan, majikan itu memberitahu bahawa mereka menyimpan gaji bulanan tersebut untuknya.

Dia hanya menerima elaun $500 semasa bekerja dengan keluarga itu.

Ketika ditanya mengapa dia tidak memberitahu sesiapa sahaja mengenai layanan buruk keluarga itu terhadapnya, Gawidan berkata." Saya takut dengan mereka (Lim dan Chong). Saya tidak berani.

"Mereka sentiasa memerhatikan gerak-geri saya di dalam rumah. Mereka sentiasa mengawal saya sekiranya saya ada membuat kesilapan," katanya.

Pada 18 April tahun lalu, Gawidan tidak tahan lagi dengan sikap buruk majikannya itu lalu mendapatkan perlindungan di tempat perlindungan yang dikendalikan Pertubuhan Kemanusiaan Ekonomi Migrant.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain