suria

Mogok Kru Kabin Lufthansa Sah

Penerbangan Lufthansa dibatalkan kerana kru kabin bertindak mogok sejak Rabu.

BERLIN: Tindakan kru kabin syarikat penerbangan terbesar Jerman, Lufthansa mogok hingga menyebabkan 930 penerbangan dibatalkan dan lebih 100,000 penumpang terkandas didapati tidak bercanggah dengan undang-undang buruh negara itu.

Mahkamah Buruh di Darmstadt yang memutuskan perkara itu juga membenarkan kakitangan syarikat itu meneruskan mogok.

Malahan, mahkamah sama turut menolak rayuan pengurusan Lufthansa untuk mengharamkan mogok anjuran kesatuan pramugari UFO itu yang menyaksikan hampir 2,000 penerbangan dibatalkan sejak pada Jumaat lepas.

Selain itu, hujah Lufthansa bahawa alasan kesatuan berkenaan untuk mogok adalah ‘terlalu kabur’ dan bercanggah dengan undang-undang buruh Jerman juga ditolak.

Kesatuan sekerja UFO mengalu-alukan keputusan itu di laman webnya dan meminta mogok berkenaan diteruskan hingga esok melibatkan semua penerbangan dari lapangan terbesar di Jerman, Lapangan Terbang Antarabangsa Frankfurt di samping lapangan terbang di Munich dan Dusseldorf.

Syarikat penerbangan itu telah membatalkan sebanyak 929 penerbangannya pada Isnin lepas yang menyebabkan 113,000 penumpang terkandas dan memotong 136 lagi penerbangan kelmarin melibatkan 27,300 penumpang.

Lufthansa membuat tawaran baharu untuk meningkatkan bonus dan faedah persaraan kepada UFO pada Isnin lalu tetapi kesatuan sekerja itu menolaknya. – AFP

Lufthansa, Darmstadt, UFO

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain