suria

PBB Mahu Dalang Letupan Bom Segera Dibawa Ke Muka Pengadilan

Ban Ki-moon
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon Isnin malam mengutuk serangan bom di Bangkok dan menggesa agar tindakan segera diambil untuk membawa pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu ke muka pengadilan.

Kejadian berlaku di persimpangan Ratchaprasong berhampiran Kuil Erawan yang terkenal dan pusat beli-belah terkemuka di bandar raya ini.

Sumber PBB, yang memetik maklumat dikeluarkan pihak berkuasa Thailand, berkata sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan lebih 80 cedera dalam letupan itu.

Dua daripada yang maut adalah rakyat Malaysia, manakala jumlah yang cedera meningkat kepada 21 orang pada hari kejadian.

Setiausaha agung mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga mereka yang meninggal dunia serta kepada rakyat dan Kerajaan Thailand dan berharap mereka yang cedera akan lekas sembuh," kata kenyataan yang dikeluarkan seorang jurucakap PBB.

Sementara itu, Kerajaan Amerika Syarikat mengutuk sekeras-kerasnya letupan bom di Bangkok itu.

Jurucakap Jabatan Negara di Washington, John Kirby memberitahu pemberita pada Isnin bahawa Setiausaha Negara John Kerry dan Jabatan Negara mengutuskan ucapan "simpati yang amat mendalam kepada mereka yang terjejas akibat letupan di tengah Bangkok pada Isnin malam itu".

"Kedutaan Amerika di Bangkok telah mengeluarkan pesanan kecemasan kepada rakyat Amerika, menasihati mereka supaya mengelak kawasan berkenaan dan mengikuti laporan media tempatan bagi mendapatkan perkembangan terkini.

"Kami memantau keadaan dengan rapi dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengumpul maklumat untuk menentukan sama ada terdapat  rakyat Amerika yang turut menjadi mangsa dalam letupan itu," katanya.

PBB, Ban Ki-moon, pengeboman Bangkok

Artikel Lain