suria

Thailand Perkenal Produk Penjagaan Kulit Daripada Ekstrak Susu Getah

BANGKOK: Banyak produk penjagaan kulit antipenuaan yang mengandungi ekstrak susu getah hasil daripada kajian Universiti Prince of Songkhla dan Universiti Naresuan, akan dilancarkan tahun hadapan.

"Produk-produk ini datang dalam bentuk gel pencuci muka, serum penjagaan kulit, krim pemutih dan produk penjagaan rambut," kata Ketua Pegawai Eksekutif Thailand Centre of Excellence for Life Sciences (TCELS), Dr Nares Damrongchai pada Jumaat.

Dr Nares berkata oleh sebab Thailand mempunyai keupayaan untuk menghasilkan susu getah dalam kuantiti yang besar, produk penjagaan kulit keluaran negara itu mempunyai perbezaan dengan produk lain dalam kategori yang sama.

"Unik, jadi kami yakin pengguna akan memberikan sambutan yang baik," katanya.

TCELS sedang dalam proses mengenal pasti nilai ekonomi produk-produk tersebut, katanya.

Beliau berkata produk ini akan mendatangkan hasil kepada negara dalam jangka masa panjang selain membantu mengatasi masalah kejatuhan harga getah.

TCELS suatu bahagian dalam Kementerian Sains dan Teknologi Thailand, pada Jumaat menandatangani perjanjian persefahaman dengan Universiti Prince of Songkhla dan Universiti Naresuan untuk menghasilkan produk penjagaan kulit semula jadi dan penjagaan rambut mengandungi susu getah.

Langkah ini bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat ke atas produk penjagaan kecantikan dan peribadi serta mengatasi masalah kejatuhan harga getah.

Dr Nares berkata pasaran Asia Pasifik untuk produk pemutihan dijangka bernilai kira-kira tiga bilion baht.

"Kami yakin produk yang kami bangunkan ini akan menerima maklum balas yang baik daripada pengguna dan akan mempunyai perkongsian pasaran yang besar," katanya.

Kajian ke atas ekstrak susu getah ini dibuat oleh Prof Dr Rapeepun Wititsuwannakul dari Universiti Prince of Songkhla dan pasukannya.

Produk-produk itu telah pun menerima sambutan yang positif daripada pengguna selepas sebuah syarikat mengadakan kempen pemasaran sebelum pelancaran.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain