Presiden Putin Keluarkan Dikri Iktiraf Keputusan Crimea Untuk Bercantum Dengan Rusia - Dunia | mStar

Presiden Putin Keluarkan Dikri Iktiraf Keputusan Crimea Untuk Bercantum Dengan Rusia

Presiden Rusia Vladimir Putin
MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menandatangani dikri mengiktiraf keputusan kerajaan autonomi Crimea untuk berpisah dengan Ukraine dan bercantum dengan negaranya.

Menurut Putin, Rusia perlu mengambil kira keputusan referendum atau pungutan suara di Crimea Ahad lalu yang memutuskan rakyat negara itu mahu menjadi sebahagian daripada Rusia.

Menurut laporan BBC, 97% pengundi memutuskan yang mereka mahu berpisah dari Ukraine.

Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat bagaimanapun dengan segera mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak mengiktiraf referendum itu dan menganggapnya sebagai tidak sah.

Sebaik sahaja Crimea mengumumkan yang mereka akan bercantum dengan Rusia, Putin telah meluluskan bantuan kewangan segera sebanyak AS$410 juta untuk wilayah berkenaan.

Ia dengan sendirinya memberi petanda awal yang Rusia menyokong keputusan warga Crimea yang sebahagian besarnya adalah terdiri daripada etnik Rusia untuk kembali menjadi sebahagian daripada wilayah Rusia.

Crimea juga mengumumkan yang mereka akan menggunakan mata wang Rusia iaitu 'rouble' dalam tempoh sebulan dari sekarang di samping mengubah waktu mengikut waktu Moscow iaitu dua jam ke hadapan mulai 30 Mac ini.

Mereka juga akan membuat tawaran kepada tentera Ukraine yang berpangkalan di semenanjung Crimea sama ada mahu diserapkan sebagai sebahagian pasukan tentera Rusia. 

Segala aset milik kerajaan pusat di Crimea juga akan diambil alih oleh pentadbiran baru itu nanti.

Dalam reaksi segera, Pemangku Presiden Ukraine, Olexander Turchynov berkata, yang kerajaannya bersedia untuk bersemuka dan berunding dengan Rusia berhubung krisis yang berlaku di Crimea tetapi dengan tegasnya menyatakan yang mereka tidak akan menerima sebarang keputusan untuk memisahkan wilayah itu dari Ukraine.

Crimea telah diambil alih oleh kumpulan militia yang pro-Rusia hujung Februari lalu sebaik sahaja kerajaan pusat Ukraine yang pro-Rusia tumbang digulingkan oleh kumpulan pro-barat.

Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych telah melarikan diri ke Moscow selepas kerajaan pimpinannya tumbang atas bantuan ejen-ejen Rusia dan memohon campur tangan negara itu.

Putin enggan mengembalikannya ke puncak kuasa tetapi bersedia untuk mengambil Crimea semua dengan alasan mereka perlu melindungi etnik Rusia yang merupakan penduduk majoriti di Crimea.

Kremlin secara rasmi menafikan sebarang campur tangan tenteranya di Crimea tetapi dunia tidak mempercayainya kerana tiba-tiba semenanjung itu dipenuhi dengan anggota militia yang berpakaian seragam tentera tanpa apa-apa insignia sekaligus mencetuskan spekulasi yang mereka adalah dari unit komando Rusia yang datang untuk membantu kerajaan autonomi Crimea mengambil alih wilayah itu dari tangan Ukraine.

Pasukan militia ini mengambil alih semua aset penting Crimea seperti berek tentera, lapangan terbang, bangunan parlimen dan kerajaan.

Untuk rekod, lebih 57% penduduk Crimea adalah terdiri daripada etnik Rusia kerana wilayah ini pada asalnya adalah sebahagian daripada Rusia manakala selebihnya adalah etnik Ukraine dan Tartar yang beragama Islam.

Crimea hanya menjadi sebahagian daripada Ukraine pada 1954 setelah ia dihadiahkan kepada Ukraine sebagai balasan kepada keputusan Ukraine untuk bercantum dengan empayar Kesatuan Soviet yang diterajui oleh Persekutuan Rusia.

Pada 1991 apabila empayar Soviet tumbang, Ukraine memutuskan untuk menjadi sebuah republik yang merdeka.

Rusia tidak membantah dengan syarat Ukraine bergantung hidup kepadanya dan mengekalkan pangkalan angkatan laut Rusia di semenanjung Crimea.

Vladimir Putin , Rusia , Crimea , Empayar Soviet , Ukraine

Artikel Berikut

Gempa Bumi Sederhana Landa Taiwan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

Artikel Lain