suria

Dua Kapal Berlanggar Di Selat Singapura

SINGAPURA: Dua buah kapal dilaporkan telah berlanggar di Selat Singapura, dekat Pulau Sebarok, kira-kira 10km ke selatan tanah besar Singapura.

Perlanggaran membabitkan kapal kontena didaftarkan di Liberia, "Hammonia Thracium" yang hendak belayar keluar dan kapal tangki kimia yang didaftarkan di Panama, "Zoey".

Ini merupakan insiden ketiga perlanggaran kapal dalam tempoh lebih dua minggu.

Dalam kenyataan, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata, pihaknya menerima laporan mengenai perlanggaran itu pada Isnin.

'Hammonia Thracium' melaporkan bahawa sebuah daripada tangki bunker mengalami kerosakan dan menyebabkan tumpahan kira-kira 80tan metrik bahan api.

Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai perlanggaran, MPA segera menghantar empat kapal peronda untuk mengawal tumpahan.

Kedua-dua kapal kini dalam keadaan stabil di luar kawasan lingkungan pelabuhan Singapura.

MPA sedang menyiasat punca perlanggaran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain