suria

Pengerusi MILF Yakin Proses Damai Akan Berjaya

JOHOR BAHARU: Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Al-Haj Murad Ebrahim yakin proses perjanjian damai di Mindanao akan berjalan lancar dan memenuhi matlamatnya.

Ini kerana katanya, kerangka perjanjian damai yang ditandatangani MILF dan kerajaan Filipina pada Oktober lepas, akan menghentikan sokongan masyarakat kepada kumpulan militan di wilayah selatan itu.

Kumpulan militan seperti Abu Sayyaf ini wujud kerana kononnya memperjuangkan Bangsamoro, tetapi kalau rakyat melihat mereka kini ada masa depan yang cerah, mereka tidak akan menyokong kumpulan militan ini lagi, sekali gus mencegah perbuatan sabotaj yang mungkin dilakukan, katanya kepada Bernama di sini, RAbu.

"Jika tiada lagi sokongan rakyat, mereka secara beransur-ansur akan dipinggirkan," katanya yang ditemui di luar Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF)ke-8.

Mesyuarat tiga hari itu yang dihadiri 2,100 perwakilan dari lebih 80 negara dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kerangka perjanjian damai itu yang ditandatangani pada 15 Oktober di Manila, membuka ruang kepada proses damai berterusan di Mindanao. Malaysia memainkan peranan sebagai broker kepada usaha damai tersebut sejak 2001.

Menurut Murad, kumpulan kecil pemberontak bersenjata yang sekarang menentang kerajaan Filipina wujud kerana mereka mudah mendapat sokongan daripada masyarakat setempat.

Bagaimanapun beliau yakin, kumpulan militan terbabit akan menyertai proses damai itu dan MILF sedang berusaha menarik kumpulan berkenaan untuk berunding.

"Kita mempelawa mereka menyertai kami untuk meneruskan proses damai itu berasaskan kerangka perjanjian yang ada sekarang, agar aspirasi masyarakat Bangsamoro dapat direalisasikan," katanya.

Perjanjian itu katanya bukan hanya untuk MILF tetapi juga kumpulan militan lain. "Kami optimis, suasana di bawah sana akan tenang secara beransur-ansur. Insya-Allah," katanya sambil tersenyum. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Timor Leste Kekal Sertai Asean

Artikel Berikut

Artikel Lain