Wartawan Kanan & Popular TV Pakistan Nyaris Jadi Mangsa Letupan Bom - Dunia | mStar

Wartawan Kanan & Popular TV Pakistan Nyaris Jadi Mangsa Letupan Bom

ISLAMABAD: Seorang wartawan televisyen terkenal Pakistan, terselamat daripada percubaan membunuhnya apabila pihak polis berjaya mengeluarkan bom yang dipasang di bawah keretanya, pada Isnin.

Hamid Mir, yang merupakan hos sebuah rancangan temubual popular rangkaian televisyen Geo dan juga kolumnis akhbar terbesar Pakistan, Jang, dikatakan menjadi mangsa sasaran puak Taliban selepas beliau mengkritik perbuatan menembak seorang remaja perempuan Malala Yousafzai baru-baru ini.

Menurut pihak polis, bom seberat setengah kilogram itu ditemui di bahagian tempat duduk penumpang hadapan kereta Hamid.

"Kami menemui bom itu telah siap dipasang dengan alat peletusnya sekali," kata Ketua Polis Islamabad, Bani Amin.

Hamid Mir dikatakan sedang dalam perjalanan dari kediamannya ke pejabat apabila dia singgah sebentar di sebuah pasar yang mana pihak polis mengesyaki tempat bom itu dipasang.

Hamid Mir berkata, ia adalah satu amaran untuk menutup mulut para wartawan tetapi insiden itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik mengumumkan yang kerajaan akan menawarkan ganjaran berjumlah 50 juta Rupee (AS$500,000) kepada sesiapa yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya pihak yang bertanggungjawab memasang bom berkenaan.

Hamid Mir kini diletakkan dalam kawalan keselamatan termasuk di kediamannya.

Malala, 15, menjadi mangsa tembakan puak Taliban ketika dia sedang berada di dalam bas sekolah di Lembah Swat di utara Pakistan kerana terlibat dalam kempen menegakkan hak wanita untuk memperolehi pendidikan.

Dia bagaimanapun terselamat dan sedang pulih dari kecederaan itu.

Pakistan adalah negara yang ketiga di dunia yang dilabelkan sebagai tidak selamat kepada para wartawan selepas Syria dan Somalia.

Artikel Sebelum

Vietnam Enggan Cap Pasport Baru China

Artikel Berkaitan

default image

Lelaki Berbogel Di Pameran Seni Lelaki Bogel

default image

Malta Tetapkan Pilihan Raya Pada 9 Mac

Artikel Lain