suria

Myanmar Tidak Perlukan Pelaburan Yang Membawa Kepada Rasuah - Suu Kyi

BANGKOK: Myanmar tidak perlukan lebih banyak pelaburan yang membawa kepada rasuah dan ketidaksamaan sosial, tetapi amat memerlukan pelaburan yang dapat memperbaiki hidup rakyat dan negara, kata pemimpin pembangkang Aung San Suu Kyi pada Jumaat.

"Burma menawarkan peluang kepada anda dan kami. Bantulah kami memenuhi keperluan kami," katanya pada Forum Ekonomi Dunia mengenai Asia Timur, di sini.

Penerima Anugerah Nobel Keamanan pada 1991 itu berkata keutamaan Myanmar ketika ini ialah mewujudkan peluang pekerjaan berikutan kadar pengangguran yang tinggi, yang disifatkan beliau sebagai "bom jangka".

Golongan muda yang menganggur di negara ini terlibat dalam aktiviti negatif seperti menagih arak, dadah dan berjudi, serta tidak menyumbang kepada perubahan negara, katanya.

"Tiada gunanya bercakap mengenai demokrasi jika kita tidak dapat memperkasa rakyat sendiri," kata ikon demokrasi Myanmar itu.

Suu Kyi menggesa pelabur agar tidak terlalu memikir tentang pulangan pelaburan sebaliknya berfikir mengenai faedah kepada rakyat Myanmar dan negara itu.

"Kami cuma mahu meningkatkan keadaan di Myanmar, bukan untuk faedah orang tertentu atau kumpulan atau organisasi," katanya.

Beliau berkata negara itu juga amat memerlukan kumpulan besar golongan berpendidikan bagi membawa perubahan kepada negara.

Myanmar terlalu bertumpu kepada pendidikan tertiari dan mengabaikan pendidikan asas pada masa ini, sedangkan yang diperlukan untuk perubahan negara ini ialah sekumpulan besar rakyat berpendidikan menengah, katanya.

Suu Kyi berkata negara itu memerlukan komitmen kebangsaan untuk pendamaian seluruh negara.

Dalam menarik pelaburan ke Myanmar, beliau meminta pelabur berhati-hati memandangkan negara itu tidak memiliki seistem kehakiman yang bebas dan bersih bagi mentadbir undang-undang berkaitan pelaburan.

Mengenai Asean, beliau berkata kumpulan 10 anggota itu tidak wajar memberi bantuan kepada Myanmar, sebaliknya menyenaraikan harapan mereka apabila Yangoon mempengerusikan kumpulan tersebut pada 2014.

Suu Kyi yang mesra dikenali sebagai "The Lady" menghabiskan lebih 20 tahun di bawah tahanan di rumah di Yangoon, melakukan perjalanan ke luar negara yang pertama ke sini selepas 24 tahun.

"Saya terpesona dengan lampu-lampu di Bangkok ketika menyaksikannya dari dalam kokpit kapal terbang selepas dipelawa juruterbang. Pada masa itu saya fikir Yangoon juga boleh menjadi seperti Bangkok daripada segi pembangunan jika tidak kerana masalah dalam negara," katanya.

Suu Kyi, 67, juga berkongsi bagaimana beliau memperolehi kekuatan bagi memperjuangkan demokrasi di negaranya selama bertahun-tahun.

"Ini ada kaitan yang banyak dengan DNA. Ibu saya mendidik saya bahawa tanggungjawab lebih penting berbanding perkara lain dalam hidup ini," katanya.

Pada sidang media selepas itu, Suu Kyi berkata sebarang bantuan pembangunan ke negara itu mesti dilakukan secara telus agar dapat memberi manfaat kepada rakyatnya.

"Jika anda melakukannnya secara senyap-senyap, tiada apa yang dapat kami lakukan bagi memastikan bantuan sampai ke tangan rakyat," katanya.

Mengenai pindaan perlembagaan di Myanmar, beliau berkata perkara itu amat sukar dilakukan kerana memerlukan sokongan lebih 75 peratus wakil parlimen.

"Undi orang awam hanya 75 peratus dan baki adalah undi tentera. Jika anda perlu lebih 75 peratus, anda perlu sekurang-kurangnya satu undi daripada tentera dan itulah yang paling sukar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain