suria

Lelaki Tembak Tiga Murid, Guru Sekolah Yahudi Di Perancis

TOULOUSE: Seorang suspek pembunuh bersiri menembak mati tiga murid dan seorang guru di sebuah sekolah Yahudi di selatan Perancis yang dikaitkan dengan serangan berbau anti-Semitik.

Presiden Nicolas Sarkozy mengumumkan bahawa kejadian pembunuhan itu sebagai 'tragedi negara' dengan mengarahkan polis supaya melakukan siasatan segera.

Ini kerana serangan di kawasan sekolah di Toulouse oleh suspek lelaki bersenjata yang sama dalam beberapa kejadian di kawasan itu sejak beberapa hari lalu, termasuk suspek menggunakan pistol dan skuter curi yang sama.

Serangan itu memaksa polis meningkatkan kawalan keselamatan di sekolah Yahudi dan pertubuhan hak asasi serta kerajaan asing menyifatkan ia berbaur anti-Semitik.

Kejadian di Ozar Hatorah School itu menyebabkan dua murid lelaki berusia tiga dan enam tahun termasuk ayah mereka, seorang guru agama, Rabbi Jonathan Sandler, 30, yang cuba menghalang penembak, maut di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa yang maut ialah murid perempuan berusia 10 tahun yang juga anak kepada pengarah sekolah berkenaan.

Lelaki terbabit dilaporkan mula menembak satu kumpulan kanak-kanak dan guru sekolah sebaik saja sesi pagi bermula.

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang turut terkena tembakan kini masih kritikal.

Penyerang dikatakan memakai topi keledar penutup muka penuh dan berjaya melarikan diri menunggang skuter Yamaha TMAX yang dipercayai dicuri di Toulouse, awal bulan ini.

Artikel Lain