suria

Bali Tuan Rumah Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Kebudayaan Unesco

JAKARTA: Indonesia akan menjadi tuan rumah dan mempengerusikan Sesi Keenam Jawatankuasa Antara Kerajaan Untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu) di Bali pada November. Timbalan Menteri Kebudayaan di Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia Prof Wiendu Nuryanti berkata mesyuarat lapan hari mulai 22 November itu, akan menghimpunkan kira-kira 600 delegasi dari 137 Parti Negara, NGO antarabangsa terkemuka dan pakar yang aktif dalam bidang kebudayaan serta media antarabangsa dan kebangsaan.

"Mesyuarat itu, yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali di Nusa Dua, Bali, semestinya acara paling penting tahun ini berkaitan warisan kebudayaan hidup atau tidak ketara," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dijadual merasmikan mesyuarat itu dalam acara yang gilang-gemilang, disertai persembahan kebudayaan dan jamuan malam gala pada 22 November. Sehingga kini, warisan Indonesia iaitu Wayang (wayang kulit), Keris, Batik dan Angklung telah termaktub dalam Senarai Perwakilan Warisan Kemanusiaan Kebudayaan Tidak Ketara di bawah Konvensyen 2003.

Tahun ini Indonesia mencalonkan Tarian Saman dari Gayo Lues dan daerah persekitarannya di Wilayah Aceh untuk menduduki Senarai Memerlukan Perlindungan Segera, satu lagi senarai yang diwujudkan di bawah Konvensyen itu, dan keputusan mengenainya akan dibuat semasa mesyuarat November ini, bersekali dengan keputusan pencalonan lain oleh negara lain.

Warisan kebudayaan tidak ketara ditakrifkan sebagai amalan, representasi, ekspresi, pengetahuan, kemahiran, selain instrumen, objek, artifak dan ruang kebudayaan yang mempunyai hubung kait dengan komuniti, kumpulan dan dalam keadaan tertentu individu, diiktiraf sebagai sebahagian daripada warisan kebudayaan mereka.

Konvensyen Untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara 2003 diterima pakai oleh Unesco dalam Persidangan Agungnya di Paris pada 17 Oktober, 2003.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai, merangsang rasa hormat dan melindungi kepelbagaian warisan hidup atau tidak ketara menerusi kerjasama antara kerajaan dan komuniti di peringkat kebangsaan, sub-serantau, serantau dan antarabangsa.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pakar Program Budaya, Pejabat Unesco di Jakarta, Masanori Nagaoka dan bekas Duta Indonesia ke Unesco Prof Dr Aman Wirakarta Kusumah. - BERNAMA

Artikel Lain