suria

Banjir Bertambah Buruk Di Bangkok

BANGKOK: Keadaan di ibu negara ini semakin buruk apabila lebih banyak kawasan ditenggelami air dan kesemua 50 daerah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir malam Rabu.

Banjir telah merebak ke daerah Thai Wattana dan penduduk diarahkan mencari perlindungan di pusat-pusat pemindahan, sementara pusat pemindahan di Lapangan Terbang Don Mueang terpaksa memindahkan lebih 4,000 orang ke pusat-pusat lain berikutan paras air yang semakin naik.

Lapangan Terbang Don Mueang yang menampung penerbangan domestik telah ditutup sementara sejak semalam hingga 1 November.

Bagaimanapun, Pusat Kawalan Operasi Pemulihan Banjir, pusat operasi utama negara, kekal di situ sekalipun seluruh daerah berkenaan kini dilanda banjir.

Gabenor Bangkok Sukhumbhand Paribatra mengarahkan kesemua 50 daerah itu bersiap sedia menghadapi banjir malam ini oleh kerana kira-kira empat bilion meter padu limpahan air banjir dari utara dijangka sampai ke ibu negara malam Rabu.

Beliau berkata paras air pasang laut yang tinggi yang dijangka berlaku boleh menghalang aliran air limpahan banjir ke Teluk Siam, dengan itu mengancam seluruh bahagian ibu negara.

Banjir telahpun melanda bahagian utara, timur dan barat ibu negara ini.

Kira-kira sepertiga bahagian negara terus digenangi air dan 2.4 juta penduduk di lebih 10,000 kampung dari 26 wilayah di bahagian utara dan tengah terjejas oleh banjir yang melanda sejak 25 Julai.

Jumlah kematian meningkat ke 373 hari ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain