suria

NGO Malaysia Hantar Bantuan Air Minum Kepada Mangsa Banjir Thailand

HATYAI: Misi bantuan kemanusiaan Malaysia kepada mangsa banjir di Thailand, yang diselaraskan oleh Pejabat Perdana Menteri, yang berupa satu kontena mengandungi lebih 1,000 karton air minum tiba di sini malam tadi.

Penyelaras misi penghantaran itu, Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri Datuk Latt Shariman Abdullah berkata empat lagi kontena air minum akan dihantar dengan lori treler dan dijangka tiba menjelang Selasa ini.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencetuskan idea supaya badan-badan bukan kerajaan (NGO) membentuk satu gabungan bagi mengumpul sumbangan untuk dihantar kepada mangsa banjir Thailand.

"Pada masa ini mereka sangat memerlukan air minum berikutan bekalan air bersih di Bangkok terputus malah Pegawai Khas Perdana Menteri Yingluck Sinawatra memberitahu mereka amat memerlukan air minum.

"Pihak berkuasa Thai turut memberi bantuan dan komitmen penghantaran bantuan itu berjalan lancar," kata Latt Shariman kepada wartawan Malaysia yang turut serta dalam misi itu. Air minum tersebut diserahkan kepada Ketua Polis Hatyai Jirawat Payungtham yang akan menguruskan penghantarannya ke Bangkok.

Katanya pasukan St John Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah Kedah dan Pulau Pinang serta Barisan Kola (Umno Kuala Kedah) yang membentuk satu gabungan misi 'Bantuan Banjir Thailand' menerima banyak sumbangan daripada syarikat korporat dan individu.

Latt Shariman yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah berkata bantuan lain kepada mangsa banjir Thailand akan menyusul kerana banyak lagi bantuan dijangka diterima. Sebelum ini kerajaan Malaysia telah menyumbang sebanyak RM1 juta kepada kerajaan Thailand untuk membantu mangsa banjir.

Sementara itu, Jirawat, bagi pihak kerajaan dan rakyat Thailand mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang bermurah hati dan bersimpati dengan menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa banjir di negera itu.

Beliau juga berkata kerajaan Thailand telah membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan banjir melanda Hatyai sepertimana tahun lepas.

"Pada masa ini sukar meramalkan banjir akan melanda Hatyai kerana ia bergantung kepada cuaca dan hujan pada November ini," kata Jirawat. - BERNAMA

Artikel Lain