suria

Kes Curi Kereta, Soosai Masuk Penjara Semula

CHENNAI: Hasrat Michael Soosai, seorang warga Malaysia, untuk menikmati kebebasan selepas tamat menjalani hukuman penjara hanya tinggal impian, bila beliau ditahan lagi dalam kes curi kereta.

Khamis lepas, Soosai dibebaskan dengan jaminan dari Penjara Puzal di Chennai, di mana beliau dipenjara sejak tangkapannya pada Ogos 2010, atas beberapa kesalahan menipu.

Namun polis daerah Krishnagiri, kira-kira 230 km dari Chennai, kemudian mengemukakan tuduhan mencuri kereta ke atas Soosai, dengan itu menghalangnya dari meninggalkan penjara. Soosai, 47, dihantar ke Krishnagiri, di mana mahkamah tempatan menahannya Jumaat lepas dan menghantarnya ke Penjara Sentral Salem.

"Kami telah menahannya berhubung kes penipuan kereta bernilai 10 lakh (RM70,000)," kata N. Kannan, Penguasa Polis Krishnagiri ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Menurut polis Krishnagiri siasatan pada 2009, mendapati Soosai menyamar sebagai Dr. Sivakumar, berkenalan dengan C. Vikranth, seorang ahli perniagaan tempatan untuk membincangkan prospek bisnes di Singapura.

Semasa pertemuan itu di sebuah hotel, lelaki yang petah bercakap itu dikatakan telah menipu ahli perniagaan itu untuk melarikan kereta mewahnya, Scorpion.

Soosai juga dikehendaki oleh polis Malaysia kerana terbabit dalam beberapa jenayah kolar putih bernilai hampir RM1 juta, dan mengaitkan beliau dengan kes pencolekan/pembunuhan seorang pemandu Malaysia di India selatan.

Artikel Sebelum

Lynas Penuhi Semua Syarat: Moore

Artikel Berikut

Artikel Lain