suria

13 Anggota Polis Terbunuh Cuba Bebaskan Tebusan Di Sudan

KHARTOUM (Sudan): Tiga belas anggota polis Sudan terbunuh dan 30 lagi cedera dalam pertempuran dengan sekumpulan penjenayah yang dipercayai menculik tiga orang tebusan yang mana seorang daripadanya berbangsa Itali.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di daerah Darfur yang masih bergolak.

"Apa yang terjadi ialah satu unit pasukan polis cuba menyelamatkan tiga orang tebusan daripada satu kumpulan bersenjata," kata jurucakap polis, Ahmed al-Tughani kepada agensi berita AFP.

Sebuah akhbar Sudan, Al-Ahdath, telah memetik sumber polis sebagai berkata, selain seorang tebusan berbangsa Itali, seorang lagi adalah usahawan dari Nyala, iaitu ibu negeri Selatan Darfur manakala tebusan ketiga dipercayai seorang anggota polis.

Bulan lalu, seorang petugas sukarela kemanusiaan dari Itali bernama Francesco Azzara, yang sedang menjalankan kerja-kerja kemanusiaan di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak di Nyala, telah diculik ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang.

Azzara, 34, dikatakan mula bertugas di pusat tersebut Julai tahun lalu.

Sekurang-kurangnya 300,000 orang telah terbunuh manakala 1.9 juta yang lain menjadi mangsa pelarian sejak Darfur menjadi medan konflik pada tahun 2003 antara pemberontak bukan Arab dengan puak suku Arab yang menguasai Khartoum.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain