suria

PM Baru Jepun Lawat Bandar Krisis Fukushima

TOKYO: Perdana Menteri (PM) baru Jepun, Yoshihiko Noda yang menggalas jawatan itu sejak seminggu yang lalu telah melawat wilayah Fukushima buat pertama kalinya pada Khamis bagi memberikan penghormatan kepada ratusan pekerja yang bertungkus-lumus membendung krisis nuklear di wilayah itu.

Noda yang mengisytiharkan "tanpa kelahiran semula Fukushima, Jepun tidak akan lahir semula," ketika mengangkat sumpah Jumaat lalu akan memeriksa loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi yang menjadi lumpuh akibat gempa bumi pada 11 Mac lalu dan bertemu gabenor wilayah itu Yuhei Sato.

Noda juga telah melawat pusat fasiliti sukan J-Village yang menempatkan ratusan pekerja yang telah bertungkus-lumus selama lebih enam bulan bagi mengimbangi bencana nuklear terburuk itu sejak kes Chenobyl.

"Sejak tragedi itu berlaku, anda semua telah bekerja keras untuk rakyat Jepun. Saya ingin melahirkan penghargaan yang tidak terhingga terhadap jasa anda," katanya sambil memberikan tunduk hormat kepada para pekerja seperti dipetik Jiji Press.

Beliau turut memuji angkatan tentera yang mengawal di lokasi berkenaan tanpa mengira penat dan lelah demi Jepun.

"Sebagai ketua komander Tentera Pertahanan Diri, saya amat berbangga (dengan usaha dan komitmen angkatan tentera)," katanya.

Noda menggantikan Naoto Kan yang berundur daripada Kabinet selepas dikecam hebat ekoran kegagalannya menangani bencana 11 Mac iaitu gempa bumi 9.0 magnitud, tsunami dan insiden nuklear.

Jepun kena masih bertungkus-lumus untuk menurunkan suhu dan menyejukkan reaktor nuklear yang lumpuh itu sebelum Januari tahun depan.

Noda juga merancang untuk membuat tinjauan di zon larangan (no-go zone) dan memerhatikan penduduk setempat melakukan kerja-kerja dekontaminasi di bandar Date yang hanya berada di luar zon tersebut. - AFP

Artikel Lain