suria

Malaysia Tuan Rumah Persidangan PATA 2012 Di Putrajaya

NEW DELHI: Selepas hampir sedekad berlalu, Malaysia akan menjadi tuan rumah acara terulung dalam industri pelancongan iaitu persidangan tahunan Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) tahun depan.

Kira-kira 600 perwakilan dari 60 negara, sebahagian besarnya adalah anggota kanan dalam industri pelancongan dan kembara antarabangsa, dijangka menghadiri persidangan itu di Putrajaya dari 20 hingga 22 April.

"Sudah lama kami tidak membawa peneraju utama daripada kumpulan PATA ke Malaysia.

"Ini akan menjadi platform yang baik untuk mempromosi produk pelancongan baru kami kepada dunia," kata Datuk Azizan Noordin, pemangku Ketua Pengarah Tourism Malaysia, kepada Bernama di Delhi.

Sebelum ini, Malaysia menganjurkan Persidangan Tahunan Pata ke-50 di Kuala Lumpur pada 2001.

Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan dalam industri pelancongan global, dengan mencatatkan rekod memberangsangkan dan berjaya menarik kunjungan berjuta-juta pelancong asing ke negara itu.

Tahun lepas, ketibaan pelancong ke Malaysia mencatatkan rekod 24.5 juta, menyumbang RM56.5 bilion dalam perolehan pelancongan, iaitu kedua selepas sektor pengeluaran.

"Di Putrajaya, kami akan memberi tumpuan kepada pelancongan mesra alam, pelancongan belia dan penggunaan teknologi, terutamanya cara untuk melibatkan penggunaan media sosial.

"Kami turut merancang untuk menganjurkan ekspo semasa persidangan itu," kata Azizan.

Azizan kini mengetuai delegasi Malaysia ke Ekspo Pelancongan PATA 2011 di Delhi, yang berlangsung selama tiga hari dan dihadiri oleh lebih 1,000 perwakilan. - BERNAMA

Artikel Lain