suria

Artis Popular Kate Winslet Antara Yang Terselamat Dalam Kebakaran Rumah Jutawan Richard Branson

LONDON: Beberapa tetamu Sir Richard Branson termasuklah artis popular, Kate Winslet terselamat dari maut apabila rumah peranginan milik jutawan penerbangan itu yang terletak di sebuah pulau di Caribbean terbakar akibat dilanda ribut tropika.

Pemilik Kumpulan Virgin itu berkata, ketika kejadian, seramai 20 orang termasuk Winslet dan anak-anaknya sedang berada dalam rumah agam lapan bilik itu yang terletak di British Virgin Islands.

Pulau tersebut adalah milik peribadi Branson.

Ketika kejadian itu berlaku, Branson berkata, beliau dan isterinya Joan serta anak lelakinyaSam, 25, berada di dalam sebuah lagi rumah agam yang hanya terletak 100 meter dari rumah yang terbakar itu.

Katanya, api mula disedari merebak pada lebih kurang jam 4 pagi Isnin sewaktu pulau berkenaan sedang dilanda ribut tropika dengan kilat yang agak kuat.

Anak Branson, Sam berjaya membantu menyelamatkan Winslet, anak-anaknya serta para tetamu yang lain keluar dengan selamat dari rumah yang terbakar itu.

Ribu Tropika yang dinamakan "Irene" telah melanda keseluruhan kawasan Virgin Islands dalam perjalanan menuju ke arah Puerto Rico pada lewat Ahad dan awal pagi Isnin.

Menurut Branson lagi, selain Winslet, turut berada di rumah itu ialah ibunya yang berusia 90 tahun dan anak perempuannya bernama Holly, 29.

Sementara itu, jurucakap Winslet, Sara Keene, mengesahkan kejadian itu dan berkata, aktres tersebut berada dalam keadaan selamat dan tidak tercedera.

Branson berkata, rumah agamnya itu musnah sama sekali dan turut terbakar ialah beribu keping foto pengembaraan peliknya yang tersimpan di rumah tersebut. Rumah itu juga merupakan pejabat percutiannya di Caribbean.

Branson, 60, membeli keseluruhan pulau berkenaan pada awal tahun 1980-an dan mula membina rumah agamnya itu pada tahun 1982.

Beliau juga adalah rakan baik pemilik AirAsia dan juga kelab bolasepak Liga Perdana Inggeris, QPR, Tan Sri Tony Fernandes.

Artikel Sebelum

Strauss-Kahn Bebas

Artikel Berikut

Artikel Lain