suria

Ketua Pemberontak Isytihar Era Muaamar Ghadafi Berakhir

BENGHAZI: Pemimpin pemberontak Libya, Mustafa Abdel Jalil pada lewat Isnin mengisytiharkan berakhirnya era pemerintahan Kolonel Muaamar Ghadaffi dengan pengambilalihan ibu negara, Tripoli.

Mustafa berkata, beliau berharap bekas pemimpin Libya itu akan berjaya ditangkap hidup-hidup bagi membolehkannya dibicarakan secara adil.

Bercakap dalam sidang akhbar khas di sini, Pemimpin pemberontak itu turut mengucapkan syabas kepada seluruh penduduk Libya di atas kejayaan bersejarah mereka itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada NATO kerana memberikan sokongan ketenteraan yang diperlukan oleh pasukan pemberontak dalam menentang askar-askar Muaamar Ghadafi.

Bagaimanapun katanya, kejayaan sebenar rakyat Libya hanya ditentukan apabila Muaamar Ghadafi berjaya ditahan nanti.

Mustafa Abdel Jalil, yang merupakan bekas menteri undang-undang kini adalah pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan.

Beliau juga menyeru rakyat agar menghormati undang-undang dan tidak melakukan anarki sepanjang tempoh peralihan kuasa ini.

Sehingga saat ini, Muaamar Ghadafi masih belum ditemui walaupun laporan awal mengatakan dua orang anaknya termasuk Seif al-Islam telah pun ditahan oleh anggota pemberontak awal pagi ini.

Artikel Lain