suria

Kawasan Fukushima Mungkin Jadi Kawasan Larangan Untuk Beberapa Dekad

TOKYO: Kerajaan pusat sedang menyiapkan dokumen untuk mewartakan kawasan yang terjejas teruk akibat radiasi daripada kebocoran loji tenaga nuklear di Fukushima sebagai kawasan larangan untuk orang awam untuk tempoh beberapa dekad.

Menurut akhbar harian utama Jepun, Yomiuri Shimbun, Perdana Menteri Naoto Kan dijangka melawat wilayah berkenaan Sabtu ini untuk menuntut maaf secara terbuka kepada rakyat dan penduduk yang terjejas akibat pencemaran tersebut yang berlaku disebabkan oleh gempa bumi Mac lalu.

Yomiuri Shimbun telah memetik sumber-sumber kerajaan sebagai berkata, ada kemungkinan kawasan seluas tiga kilometer radius daripada loji yang rosak teruk itu akaj diwartakan selama beberapa dekad sebagai kawasan larangan untuk awam.

Ini bermakna, kerajaan akan terpaksa membeli tanah dan harta benda milik awam yang terletak dalam kawasan yang diwartakan itu untuk tujuan menyimpan saki baki buangan radioaktif termasuklah serpihan dan selut yang terkena air yang tercemar dengan radioaktif.

Pihak berkuasa Jepun sebelum ini telahpun mengisytiharkan kawasan seluas 20 kilometer radius dari loji tenaga nuklear Fukushima sebagai zon pemindahan dan selepas itu diwartakan sebagai zon larangan sejak gempa bumi 11 Mac lalu.

Insiden di loji nuklear Fukushima disifatkan yang terburuk di dunia selepas kejadian kebakaran di loji nuklear Chernobyl, Ukraine.

Artikel Lain