suria

Pesawat Bolak-Balik Angkasa Lepas Amerika Ucapkan Selamat Tinggal

WASHINGTON: Anggota pesawat bolak-balik angkasalepas Amerika, mengucapkan selamat tinggal kepada Stesen Angkasalepas Antarabangsa (ISS) pada Isnin dalam misi terakhir mereka menggunakan pesawat berkenaan sebelum ia dibersarakan.

Angkasawan dari pesawat tersebut telah meninggalkan bendera Amerika di ISS sebagai kenang-kenangan sebelum berlepas pulang.

"Bendera itu adalah untuk angkasawan yang akan datang dengan pesawat angkasalepas Amerika membawanya kembali ke bumi suatu ketika nanti," ujar Komander Chris Ferguson yang memandu pesawat yang bernama Atlantis itu selepas lapan hari berada di angkasalepas.

Atlantis berlepas dari bumi pada 8 Julai lalu dalam misi angkasalepasnya yang terakhir di bawah program pesawat bolak-balik yang dinamakan STS-135, dengan membawa empat angkasawan iaitu yang terendah dalam sejarah program tersebut.

Program angkasalepas menggunakan pesawat bolak-balik itu telah berusia 30 tahun.

Apabila program menggunakan pesawat jenis ini ditamatkan, angkasawan yang hendak dihantar ke ISS kini perlu menggunakan roket Soyuz buatan Rusia yang memerlukan mana-mana negara termasuk Amerika membayar AS$50 juta untuk satu tempat duduk sehinggalah Amerika melancarkan pesawat bolak-balik generasi baru pada tahun 2015 nanti.

Ini bermakna Agensi Angkasalepas Amerika (NASA) terpaksa bergantung kepada Rusia untuk menyediakan salah satu daripada dua tempat duduk yang terdapat dalam Soyuz jika hendak ke ISS. Tempat duduk yang ketiga di dalam pesawat Soyuz disediakan khas untuk juruterbang sahaja.

Dan NASA mengumumkan pada Isnin bahawa mereka telah mencapai persetujuan dengan sebuah syarikat swasta, United Launch Alliance (ULA) untuk mencuba roket komersial Atlas V untuk menghantar angkasawan ke ISS pada masa depan.

ULA adalah merupakan sebuah syarikat kerjasama di antara Boeing dan Lockheed Martin yang dibentuk khusus untuk merekacipta roket atau pesawat yang lebih kos efektif bagi tujuan misi kerajaan Amerika ke angkasalepas.

NASA juga turut mengumumkan bahawa satu majlis menyambut kepulangan Atlantis telah pun dirancang Jumaat ini di Pusat Angkasalepas Houston, Texas - sekaligus menamatkan program tersebut yang dilihat sebagai era gemilang angkasalepas Amerika walaupun dihantui dengan dua kejadian letupan pada pesawat yang menyaksikan 14 angkasawan terbunuh.

Sepanjang tempoh 30 tahun perkhidmatannya, program ini telah melahirkan lima kapal angkasa yang dinamakan - Atlantis, Challenger, Columbia, Discovery dan Endeavour. Kumpulan lima pesawat ini adalah yang pertama di dunia menggunakan konsep bolak-balik dan boleh digunakan semula untuk misi seterusnya.

Bagaimanapun hanya tiga pesawat yang terselamat selepas Columbia dan Challenger meletup - Columbia ketika dilancarkan ke angkasa dan Challenger ketika dalam misi memasuki ruang atmosfera bumi.

Punca program ini ditamatkan adalah kerana ia sebahagian daripada pelan berjimat cermat Presiden Barack Obama.

Setiap daripada 135 misi ke angkasalepas menggunakan pesawat bolak-balik ini memakan kos sehingga AS$450 juta.

Bukan itu sahaja, Obama juga turut membatalkan Projek Constellation - iaitu satu projek yang menjurus untuk menghantar angkasawan semula ke bulan menjelang 2020. Projek itu dikatakan menelan belanja sehingga AS$97 bilion.

Pentadbir NASA, Charles Bolden baru-baru dipetik sebagai memberitahu Jawatankuasa Sains, Angkasalepas dan Teknologi Dewan Perwakilan Amerika bahawa pada masa hadapan, satu-satunya cara yang menjimatkan untuk mana-mana misi angkasalepas ialah untuk bekerjasama dengan pihak swasta.

"Bagaimanapun ini tidak bermakna NASA akan meninggalkan program menghantar angkasawan ke angkasalepas. NASA komited kepada ISS untuk sekurang-kurang sembilan tahun lagi," kata Bolden.

Artikel Lain