Konsulat Jeneral Malaysia Di Victoria Yang Baru Mahu Membanggakan Negara - Dunia | mStar

Konsulat Jeneral Malaysia Di Victoria Yang Baru Mahu Membanggakan Negara

MELBOURNE: Konsulat Jeneral Malaysia di Victoria yang bakal dilantik, Dr Mohd Rameez Yahaya, tidak sabar untuk memulakan tugasan di sini kerana skop kerja dan cabaran yang bakal dihadapi.

"Saya diberitahu terdapat lebih 43,000 rakyat Malaysia di Victoria, jumlah tertinggi di Australia. Dan bilangannya semakin meningkat," kata Dr Rameez.

"Juga terdapat lebih 8,000 pelajar Malaysia, iaitu pendidikan menengah dan tinggi di Victoria, jadi saya rasa banyak masa saya akan ditumpukan kepada pelajar demi memastikan kejayaan dan menjaga kebajikan mereka.

"Daripada apa yang saya dengar, pelajar kita antara yang berkelakuan baik, sangat rajin, berdedikasi dan mendapat keputusan yang cemerlang. Saya akan menggalakkan mereka supaya melakukan yang terbaik untuk menyumbang kepada pembinaan bangsa negara.

Pejabat konsulat di sini sekarang boleh memproses permohonan visa dan menguruskan pertanyaan pasport termasuk memperbaharui pasport. Ini amat dialu-alukan warga Malaysia kerana sebelum ini mereka terpaksa pergi ke Canberra untuk menyelesaikan perkara ini yang membabitkan kos yang tinggi.

"Ini adalah berita hebat," kata Philip Goh, bertugas sebagai eksekutif di Bank Westpac, pinggir bandar Clayton.

"Kali terakhir apabila keluarga saya mahu memperbaharui pasport kami terpaksa terbang ke Canberra, tinggal di sana beberapa hari dan terbang semula ke sini. Dengan isteri dan tiga anak, ia membabitkan kos yang besar," katanya.

Dr Rameez berkata: "Pejabat Konsulat Jeneral di Melbourne, dengan bantuan Pesuruhjaya Tinggi di Canberra, akan membantu keperluan komuniti Malaysia di Victoria dengan menawarkan perkhidmatan konsular dan pelbagai bantuan lain berkaitan perjalanan dan pengembaraan, perdagangan dan pelaburan."

Dr Rameez, yang masih lagi mencari lokasi yang sesuai untuk menempatkan pejabat konsulat, berkata beliau telah berada di situ selama dua minggu dan amat mengkagumi kecergasan, kecekapan, kepelbagaian budaya dan amalan baik yang diamalkan oleh masyarakat Australia.

Beliau juga tidak sabar untuk melawat universiti terkemuka di Melbourne.

"Saya diberitahu Melbourne adalah salah satu bandar pendidikan dan pelajaran terbaik di dunia dan berminat untuk menggalakkan pendidikan di kalangan generasi muda Malaysia, masa depan pemimpin negara dan saya bercadang lebih proaktif dalam bidang ini," katanya.

Dr Rameez, yang sebelum ini berkhidmat di Dili, Timor Leste dan di New York, akan lebih sibuk dengan kejayaan terbaru yang dicatatkan oleh pejabat Tourism Malaysia di sini.

Sejak pembukaan pejabat Tourism Malaysia di sini lapan tahun lepas, bilangan rakyat Australia dari Victoria semakin meningkat dan rakyat Victoria adalah bilangan tertinggi yang melawat Malaysia.

Ahli perniagaan dan pelabur Australia juga sering mengadu ketiadaan pejabat MIDA dan Matrade di sini kerana ia beroperasi di Sydney.

"Saya juga akan melakukan yang terbaik untuk menggalakkan lebih ramai warga Australia membuat pelaburan di Malaysia dan pada masa yang sama mencari pasaran baru untuk barangan dan perkhidmatan Malaysia.

"Terdapat banyak cabaran pada masa akan datang dan saya tidak sabar untuk melaksanakan tanggungjawab saya," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Letupan Misteri Gegar Turkmenistan

Artikel Berkaitan