suria

Rakyat Malaysia Di India Diminta Daftar Di Pejabat Suruhanjaya Tinggi

NEW DELHI: Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini telah memulakan satu kempen khas bagi mendaftar semua rakyat Malaysia yang berada di India bagi memastikan mereka selamat, sekiranya berlaku sebarang kecemasan di India.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Tan Seng Sung berkata langkah itu selaras dengan permintaan kerajaan kepada semua pejabat kedutaan Malaysia di luar negara supaya menghimpunkan data-data mengenai rakyat Malaysia yang tinggal di luar negeri.

"Kita perlu mempunyai data semua rakyat Malaysia yang tinggal di India untuk memudahkan komunikasi dalam kecemasan. Pejabat Pesuruhjaya kita di Delhi sedang dalam proses mewujudkan program menyeluruh kepada ekspatriat Malaysia sekiranya berlaku sebarang bencana besar," katanya kepada kumpulan rakyat Malaysia yang berhimpun di sini sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sabtu.

Ketika ini dianggarkan 2,500 rakyat Malaysia, kebanyakannya bekerja untuk syarikat-syarikat Malaysia, termasuk 2,000 pelajar, kini berada di India, kebanyakannya di bahagian selatan.

Beliau berkata pejabat Konsul Jenaral Malaysia di Chennai dan Mumbai juga sudah diarah melaksanakan proses itu, di mana rakyat Malaysia akan mendaftar alamat kediaman dan maklumat mengenai nombor telefon untuk dihubungi. - BERNAMA

Artikel Lain