suria

MIDA Selaras Pelaburan Ke Koridor Pembangunan

ABU DHABI: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini menyelaraskan kesemua aktiviti promosi yang dilaksanakan oleh zon pembangunan ekonomi negara ini.

Ketua Pengarah dan Ketua Eksekutif MIDA Datuk Jalilah Baba berkata usaha sedemikian tidak boleh dilakukan secara sendirian.

"Mereka menyelaraskannya dan MIDA yang menjadi penyelaras dan penyediaan satu tetingkap kemasukan bagi kesemua pelaburan ke Malaysia," katanya semasa bercakap kepada media Malaysia sebelum persidangan Invest Malaysia 2011 yang akan diadakan di sini Ahad.

Antara lain, Malaysia sedang membangunkan lima zon ekonomi, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Koridor Pembangunan Sabah dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menyampaikan ucaptama pada persidangan itu yang dijangka menarik kira-kira 500 pelabur berpotensi dari rantau Teluk.

Jalilah berkata pejabat MIDA di seberang laut membantu zon Pembangunan Malaysia menarik para pelabur berpotensi.

Katanya para pelabur pada mulanya perlu merasa yakin mengenai Malaysia sebelum mereka memutuskan untuk melabur di negara ini," katanya.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) Datuk Yahaya Abdul Jabar berkata "Invest Malaysia 2011" akan menjadi satu peluang bagi negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Malaysia untuk mengukur potensi pelaburan satu sama lain.

Yahya berkata syarikat Malaysia juga berminat untuk datang ke UAE, iaitu salah satu negara anggota GCC. Negara anggota lain ialah Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Oman.

Katanya beberapa syarikat Malaysia telah mewujudkan operasi di UAE, seperti IJM Bhd, WCT Engineering Bhd, TAK Group Bhd, Radicare dan Propel Bhd. - BERNAMA

Artikel Lain