suria

Cuti Pelajar Malaysia Di Yogyakarta Tak Dilanjut, Tapi Diberi Kelonggaran Pulang Lewat

YOGYAKARTA: Cuti untuk kumpulan pelajar Malaysia yang dihantar pulang ke tanah air berikutan letusan dahsyat Gunung Merapi pada 5 Nov lalu kekal sehingga esok (13 Nov) dan tidak dilanjutkan.

Bagaimanapun pihak Universiti Gadjah Mada (UGM) Yogyakarta memberi kelonggaran kepada mereka yang menghadapi kesukaran untuk kembali ke kampus itu bagi menghadiri kuliah pada 15 Nov, kata Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EM) Datuk Dr Junaidy Abu Bakar.

Kelonggaran diberi jika pelajar menghadapi kesukaran untuk hadir kelas pada 15 Nov iaitu sekiranya mereka merasakan keadaan masih tidak selamat dan menjejaskan kesihatan manakala bagi pelajar-pelajar yang berada di luar Yogyakarta pula jika berdepan masalah pengangkutan untuk datang ke Yogyakarta," katanya.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata universiti itu menasihatkan pelajar yang sukar pulang untuk kuliah pada 15 Nov supaya mengikuti kuliah secara online melalui sistem GAMEL dan memuat turun bahan kuliah yang disediakan oleh fakulti masing-masing.

Mengenai jadual peperiksaan pula, ia bergantung kepada fakulti dan tahun pendaftaran bagi pelajar berkenaan kerana tarikh-tarikhnya berbeza bagi setiap tahun pendaftaran.

"Bagi pelajar ko-as (program latihan klinikal) pula, cuti yang diberi hanyalah sampai 13 Nov. Sekiranya tidak datang mereka dikehendaki mengulang program berkenaan dan bagi Ujian Remedial yang dijadualkan diadakan 15 Nov, pihak fakulti akan menjadualkan semula ujian itu," kata beliau.

Sebelum ini pihak Education Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA telah memohon kepada UGM agar 378 pelajar yang dibawa pulang ke Malaysia pada 7 Nov lepas dibenarkan berada di tanah air sehingga 21 Nov bagi membolehkan mereka menenangkan diri daripada trauma letusan Merapi dan sekali gus menyambut hari raya Aidiladha bersama keluarga.

"Saya menasihatkan semua pelajar agar membuat ulang kaji dengan serius untuk semua subjek yang berkaitan agar kita tidak tertinggal dalam pelajaran," kata Dr Junaidy. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain