suria

An Najwa Hadiahkan Kemenangan Kepada Bekas Pemain Ragbi

BINTANG bola jaring negara, An Najwa Azizan berjaya membuktikan kemampuan dirinya kepada bekas pemain ragbi kebangsaan selepas skuad Sukan SEA Malaysia itu menjulang emas pada temasya kali ini.

Pemain berusia 20 tahun itu antara pemain bola jaring negara yang berjaya menewaskan pasukan Singapura dalam perlawanan akhir.

Gadis dengan ketinggian 178 sentimeter (5'10 inci) itu memberitahu, secara peribadi kemenangan itu penting untuk membuktikan kemampuan kepada bapanya, Azizan Azmi yang merupakan bekas pemian ragbi kebangsaan.

"Ibu dan bapa saya banyak memberi sokongan sejak saya mula mendekati sukan ini, pengorbanan mereka terlalu banyak.

"Oleh itu, kejayaan ini penting untuk saya hadiahkan kepada mereka yang juga insan istimewa dalam hidup saya," jelasnya kepada mStar Online.

An Najwa menambah, selain itu kemenangan berkenaan telah mengulang kembali kejayaan 16 tahun lalu ketika temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur.

"Kami berjaya ulangi kejayaan 16 tahun dan pastinya ia sesuatu yang berharga.

"Kemenangan ini juga hasil sorakan penyokong yang sentiasa membakar semangat kami sepanjang perlawanan untuk memastikan pasukan kita menang," ujarnya.

Sementara itu, pasangan An Najwa dalam perlawanan itu, Izyan Syazana Mohd Wazir menyifatkan kemenangan itu adalah kejayaan seluruh pasukan dan penyokong selepas melalui satu tempoh mencabar.

"Kami berbangga dapat membantu negara. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai pasukan dan penyokong.

"Kemenangan ini dihasilkan hasil kombnasi semua pihak termasuk diri saya dan rakan-rakan yang sentiasa memberi perhatian untuk berjaya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain