suria

Farlim Sasar 2016 Catat Prestasi Lebih Baik

Tan Sri Lim Gait Tong

SUBANG JAYA: Farlim Group Bhd menyasarkan tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016 mencatat prestasi lebih baik dengan peningkatan untung.

Pengerusi dan Ketua Eksekutif Farlim Group, Tan Sri Lim Gait Tong berkata kenaikan keuntungan itu pada dasarnya akan dipacu perlaburan berasaskan tunai, projek yang kini hampir siap, penerokaan baharu, serta pelancaran baharu yang akan dibuat.

"Kami mempunyai dua projek yang sedang dijalankan di Pulau Pinang dan Selangor selain pelancaran baharu di Perak, yang kesemua ini dijangka memberi pulangan kukuh kepada perolehan syarikat tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Farlim di sini, Khamis.

Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamed Iqbal Kuppa Pitchai Rawther berkata pada dasarnya, Farlim merupakan syarikat yang menguntungkan, walaupun prestasi tahun kewangan 2015 tidak sebaik tahun sebelumnya.

Bagi tahun kewangan 2015, Farlim mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang rendah pada RM18.23 juta berbanding RM47.16 juta bagi tempoh sama 2014.

Perolehan pula sebanyak RM46.39 juta berbanding RM24.91 juta pada 2014.

"Syarikat merekodkan jumlah tunai yang besar dengan lebih RM100 juta dalam tangan dan masih menunggu masa yang tepat untuk membuat pelaburan, terutama pembelian tanah.

"Memandangkan ketidaktentuan pasaran ketika ini, kami berpendapat kini adalah masa sesuai untuk melabur dalam pasaran dengan lebih banyak pembelian untuk perluasan pada masa depan," katanya.

Bank tanah Farlim yang belum dibangunkan adalah 124.56 hektar.

"Banyak penjual mendapatkan kami, mereka tahu Farlim mempunyai kewangan bertujuan untuk membeli tanah tanpa mengambil pinjaman bank. Bagaimanapun, kami menyedari kos tanah ketika ini agak tinggi dan memerlukan syarikat berhati-hati dalam membuat keputusan bagi memastikan situasi sama menang," kata Mohamed Iqbal.

Beliau berkata syarikat itu merancang membeli tanah di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara itu Lim berkata, untuk melangkah maju, syarikat akan meneruskan usaha pembangunan rumah mampu milik dan berkualiti bagi memenuhi keperluan kumpulan berpendapatan pertengahan.

Farlim

Artikel Lain