suria

PUNB Sedia Beri Pinjaman Kepada OKU

MELAKA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bersedia memberi pinjaman kepada golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan golongan OKU.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata golongan OKU berpotensi menjadi usahawan berjaya sekiranya diberi pinjaman, sokongan serta bimbingan oleh pihak terlibat.

"PUNB memang tiada tabung khas untuk pinjaman perniagaan bagi golongan OKU tetapi kita bersedia memberi pinjaman bersesuaian sekiranya mereka memohon dan layak menerimanya.

"Golongan OKU mempunyai banyak kelebihan dan mampu menceburi bidang perniagaan sekiranya mereka diberi peluang mencukupi," katanya.

Mohd Ali berkata demikian selepas majlis jamuan akhir tahun, penyampaian sumbangan anak sekolah, sumbangan warga emas dan penyampaian sijil urut Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia cawangan Melaka di sini, Ahad.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia cawangan Melaka Hashim Ishak.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata PUNB sentiasa menyahut hasrat kerajaan melahirkan satu keluarga satu usahawan termasuk dalam kalangan keluarga OKU.

"Saya dimaklumkan terdapat beberapa golongan usahawan OKU cacat penglihatan di Melaka, termasuk yang berjaya mengeluarkan produk dan mengeksportnya, membuktikan mereka mampu berjaya seperti orang normal," katanya.

Beliau berkata tabung pinjaman Dunia Melayu Dunia Islam Finance House juga diwujudkan di Melaka serta bersedia memberi pinjaman kepada golongan OKU di negeri itu.

Mohd Ali, yang juga Presiden Dunia Melayu Dunia Islam, berkata tabung itu bukan hanya memberi pinjaman perniagaan tetapi juga peralatan perniagaan secara terus kepada pemohon yang layak.

Sementara itu, Hashim menyeru golongan OKU cacat penglihatan di Melaka mendaftarkan diri dengan pertubuhan itu agar kebajikan mereka terjaga.

Beliau berkata sehingga kini hanya 110 orang daripada sejumlah 1,300 OKU cacat penglihatan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri berdaftar dengan pertubuhan itu.

PUNB, Usahawan

Artikel Sebelum

PIDM Bekerjasama Dengan Cagamas

Artikel Berikut

Artikel Lain