suria

Little Caliphs Bakal Perluas Operasi Ke Indonesia

Roslan bersama anak-anak pra sekolah yang mengikut pendidikan awal sekolah di Little Caliphs.

KUALA LUMPUR: Tadika berkonsepkan Islamik, Little Caliphs kini dalam sedang merangka pelan untuk memperluaskan operasinya ke luar negara dengan memilih Indonesia sebagai perintis usaha itu pada 2016.

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Little Caliphs International Sdn Bhd, Roslan Nordin berkata, perancangan awal sedang dilakukan dan pihaknya meletakkan sasaran untuk memulakan operasi cawangan di Jakarta tahun depan.

"Kami menyasarkan untuk buka tadika ini di Jakarta, Indonesia mulai 2016," katanya selepas merasmikan pelancaran Mesyuarat Tahunan Little Caliphs Operators (ALCOM) di sini, Rabu.

Berpengalaman menguruskan operasi pendidikan pra sekolah sejak 2003, kata Roslan lagi, Indonesia menjadi pilihan kerana negara itu mempunyai persamaan dengan Malaysia dari segi sosio ekonominya.

"Baru-baru ini, kami ada terima rombongan dari Fakulti Anak Usia Dini (PAUD), Universiti Palembang, Indonesia. Jadi, ini langkah yang baik untuk Little Caliph buka cawangan di Indonesia memandangkan banyak permintaan dari semua pihak," katanya yang pernah menjadi Dekan Fakulti Teknologi Maklumat di Universiti Industri Selangor (Unisel).

Little Caliphs memfokuskan pendidikan awal kanak-kanak pada usia empat tahun untuk belajar mengikut konsep berlandaskan Islam dan pada usia muda sudah ada kanak-kanak yang sudah mampu mengaji serta solat.

Memulakan operasi dari rumahnya yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam pada 2003, kini tadika berkenaan mempunyai lebih 260 cawangan di seluruh Malaysia.

Tidak hanya memfokuskan kepada misi akademik, Little Caliphs turut menawarkan peluang perniagaan bagi usahawan muda yang mahu membuka cawangan baru.





Artikel Lain