suria

Suka dalam duka... 5 sekeluarga disahkan negatif Covid-19 selepas 15 hari menderita, tapi umi masih tidak sedarkan diri

Qalbie dan keluarganya kini dibenarkan untuk pulang ke rumah selepas saringan menunjukkan mereka negatif Covid-19.

WABAK Covid-19 mampu menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira usia, jantina, kaum, mahupun pangkat.

Pastinya setiap orang tidak ingin dijangkiti wabak yang mampu membawa maut tersebut.

Menerusi perkongsian seorang wanita, dia menceritakan tempoh sepanjang 15 hari berada di wad Hospital Tumpat, Kelantan selepas disahkan positif Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak percaya kena Covid-19, pesakit ibarat datang hospital hanya untuk ‘transfer’ virus... juru X-ray hamil dikuarantin - “Selepas 15 minit baru mengaku”

ARTIKEL BERKAITAN: Audio bekas pesakit Covid-19 merintih imbas azab 14 hari di wad tular, dah rasa macam neraka - “Bau nasi pun nak muntah”

Bercerita lanjut kepada mStar, Siti Nurul Qalbie, 41, memberitahu bahawa dia mendapat penyakit itu selepas bapanya pulang daripada surau.

"Beberapa orang jemaah tabligh dari Thailand ada datang ke surau taman kami, tetapi mereka tak beritahu mereka baru pulang daripada Masjid Sri Petaling.

"Dua hari selepas itu, abah bagitahu dia ada mengalami sakit tekak, hilang selera makan dan demam.

"Selepas melakukan saringan di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa, abah disahkan positif Covid-19," ujar Qalbie yang memberitahu tidak lama selepas itu ibu dan dua lagi adiknya turut disahkan positif wabak itu.

Qalbie menunjukkan ubat-ubatan yang perlu dimakannya ketika berada di wad.

Tambah Qalbie yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu pengalaman setiap individu yang positif Covid-19 adalah berbeza-beza.

"Abah paling teruk sakit. Saya dan adik, Yus, 33, mengalami demam, batuk dan sukar bernafas ketika tidur.

"Adik bongsu saya pula, Kimi, 27, langsung tidak menunjukkan sebarang simptom meskipun dia positif.

"Selepas 15 hari, kami sekeluarga disahkan negatif Covid-19 dan dibenarkan untuk pulang ke rumah kecuali umi," ujar Qalbie yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di Kampong Bunut Payong, Kelantan.

Perkongsian Qalbie di Facebook mengundang rasa simpati netizen.

Meskipun dibenarkan pulang ke rumah, Qalbie memberitahu terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi dia sekeluarga.

"Kami perlu memakai topeng muka dan tidak dibenarkan keluar rumah. Kakak saya yang tinggal di kawasan lain, akan datang menghantar makanan kepada kami selang beberapa hari.

"Inspektor Kesihatan juga akan melakukan pemeriksaan mengejut untuk memastikan bekas pesakit seperti kami mengikuti arahan yang ditetapkan," ujar Qalbie.

Selepas 15 hari, kami sekeluarga disahkan negatif Covid-19 dan dibenarkan untuk pulang ke rumah kecuali umi

QALBIE

Ketika mendapat perkhabaran gembira buat Qalbie, dua adik dan bapanya, ia turut disulami berita duka apabila ibunya yang berusia 66 tahun masih lagi belum sedarkan diri walaupun sudah negatif Covid-19.

"Umi kini kritikal dan dipindahkan ke Hospital Kuala Krai. Dia mengalami masalah darah tinggi dan doktor ada meminta kami untuk bersedia sekiranya apa-apa berlaku kepada umi," beritahu Qalbie.

Qalbie memberitahu setiap kakitangan yang datang memberikan rawatan perlu memakai sut seperti ini dan terdapat seorang jururawat yang pengsan kerana kepenatan.

Dalam pada itu, Qalbie mengucapkan terima kasih kepada kakitangan hospital yang merawat mereka sekeluarga sepanjang dia menjadi pesakit Covid-19 dengan sangat baik.

"Doktor akan sentiasa mengemas kini perkembangan umi kepada kakak saya. Setiap syif mereka akan telefon untuk beritahu keadaaan semasa umi.

"Semasa saya di dalam wad, saya ternampak seorang jururawat pengsan akibat kepenatan ketika sedang memeriksa keadaan pesakit. Allahuakhbar... sangat besar pengorbanan mereka," kata Qalbie.

Posting Qalbie di laman Facebook sehingga kini telah mendapat 16,000 perkongsian dan 32,000 tanda suka. Rata-rata netizen mendoakan kesejahteraan Qalbie sekeluarga.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
wad, Covid-19, umi

Artikel Lain