suria

Sayu anak berulang kali panggil ‘daddy’ di kubur, sempat cium keranda sebelum Wan Rezaudeen dikebumi

Jenazah Wan Rezaudeen selamat dikebumikan pada Rabu malam.

JENAZAH Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak selamat dikebumikan pada Rabu malam.

Jenazah Allahyarham disemadikan dengan penuh istiadat pengebumian ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Gombak, kira-kira pukul 9.50 malam.

Suasana sayu mengiringi majlis pengebumian itu yang dihadiri ahli keluarga Allahyarham, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sahabat handai serta orang ramai.

Lebih pilu, isteri arwah iaitu Alia Amalina Mohd Nor dan anak lelakinya, Wan Alyan Riz dilihat sebak mencium keranda Wan Rezaudeen Kamal beberapa kali sebelum dikebumikan.

Anak lelaki mereka yang berusia lima tahun juga kendengaran tidak putus-putus menyebut 'daddy' iaitu panggilan kepada Allahyarham.

5

Solat jenazah dijalankan di Masjid Salahuddin Al-Ayubbi Taman Melati.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari Kem Gua Permai, Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh, ke Masjid Salahuddin Al-Ayubbi Taman Melati, Setapak, kira-kira 8.20 malam.

Ketika itu, dapat dilihat ahli keluarga arwah gagal menahan sebak ketika mengiringi jenazah untuk disolatkan di masjid berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Allahyarham Rezaudeen beritahu bapa nak pencen awal, mahu luangkan masa bersama anak

Solat jenazah diimamkan oleh Pegawai Agama KD Sultan Abdul Aziz Shah, Mejar Mohamad Aswad Abdul Rahman pada pukul 8.49 malam bersama anggaran lebih 1,000 jemaah.

Untuk rekod, negara digemparkan dengan nahas dua helikopter TLDM yang bertembung ketika sedang membuat latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, kira-kira pukul 9.32 pagi Selasa.

Daripada kesemua 10 mangsa yang terkorban, tiga daripadanya berada dalam helikopter jenis Fennec M502-6, manakala tujuh lagi berada di dalam helikopter HOM M503-3.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain