suria

Anak-anak, suami iringi pengebumian Noor Rahiza... Jenazah disemadi dekat pusara ibu

Jenazah Allahyarham Noor Rahiza (gambar kecil) selamat dikebumikan kira-kira 9.55 malam, Rabu.

SUASANA sayu menyelubungi majlis pengebumian Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar di Yan, Kedah, pada Rabu malam.

Majlis pengebumian jenazah disempurnakan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam, Kampung Ruat, kira-kira pukul 9.55 malam.

Jenazah disemadikan berdekatan pusara ibunya, Ratipa Yahaya yang pergi menghadap Ilahi pada Julai tahun lalu.

Suami arwah iaitu Mohd Azinor Azizan turut hadir bersama empat anak mereka, Nur Qistina Awliyah dan Nur Qistina Auni, 16, Muhammad Qisti Afif, 15, dan Nur Qisina Balqis, 6.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu anak berulang kali panggil ‘daddy’ di kubur, sempat cium keranda sebelum Wan Rezaudeen dikebumi

Majlis pengebumian jurugambar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu turut dihadiri lebih 500 individu termasuklah Timbalan Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM Lumut, Laksamana Pertama Azhar Adam.

Terdahulu, jenazah Noor Rahiza dibawa dibawa dari Kem Gua Permai, Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh, ke Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat, untuk disembahyangkan kira-kira pukul 9.07 malam.

Untuk rekod, Allahyarham Noor Rahiza merupakan salah seorang daripada 10 individu yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung di Pangkalan TLDM Lumut pada pagi Selasa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain