Rakyat Malaysia Amat Berinovasi

Diterbitkan: Khamis, 18 September 2014 2:19 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Penyangkuk besi "Angle Hook" yang tergantung dari rel langsir menggantikan "drip stand" di tepi katil hospital, pemangkas rumput untuk menuai padi dan herba yang diproses menjadi makanan lazat adalah antara contoh inovasi rakyat Malaysia.

Contoh-contoh di atas hasil pemerhatian Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) kepada lebih 50 lokasi di seluruh negara sejak 2011 dan turut mendapati rakyat Malaysia, daripada jururawat, petani dan suri rumah begitu kreatif dan inovatif.

Menurut pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Muhammad Aziph Mustapha, mereka itu menggunakan apa yang mereka ada untuk menghasilkan ciptaan yang dapat memudahkan kerja mereka.

Penemuan itu juga menunjukkan di samping memudahkan kerja dan menjimatkan kos, penghasilan itu turut membantu penduduk tempatan menjana pendapatan.

"Dari tahun 2011 hingga Jun tahun ini, kami mendapati penduduk tempatan mereka cipta 1,254 produk inovatif di seluruh negara.

"Inovasi ini ditemui menerusi 'Jejak Inovasi', program eksklusif oleh YIM untuk mencari, membangun serta mempromosi ide serta inovasi rakyat Malaysia.

"Program ini juga cuba mendokumenkan produk inovasi dan kreatif yang dihasilkan rakyat Malaysia", katanya.

REKA CIPTA MUDAH

Berbalik kepada 'Angle Hook', Muhammad Aziph berkata ia adalah penyangkuk logam yang boleh digantung dari rel langsir di wad hospital.

Meskipun ia mungkin nampak satu reka cipta yang mudah, ia boleh menggantikan 'drip stand' yang memakan ruang dan hasilnya, kawasan sebelah katil hospital tidak sempit.

Bagaimanapun, jangan terperanjat kerana penyangkuk ini adalah hasil reka cipta jururawat dari Perlis, Rusmira Ramli.

"Setakat ini, penyangkuk ini ditambah baik dan digunakan di beberapa hospital di Perlis dan Kedah", katanya.

Muhammad Aziph juga berkongsi satu lagi contoh, inovasi dari Sabah, dikenali sebagai tuhau, sejenis herba yang dimakan oleh masyarakat Dusun.

Menurut beliau, inovasi menukar herba menjadi satu makanan yang menyelerakan memberi pulangan yang lumayan kepada suri rumah, Wasinah Kuntagil.

Suri rumah yang berasal dari Tambunan ini sekarang memperoleh pendapatan sehingga RM12,000 sebulan dan herba beliau kini sudah memasuki pasaran Filipina.

Reka cipta lain, katanya termasuk pemotong padi yang dihasilkan daripada pemangkas rumput dan empangan hidro-elektrik mini.

CADANGAN KOMERSIAL

Menurut Muhammad Aziph, sebanyak 54 hasil ciptaan oleh rakyat Malaysia sedang diperbaiki dan dibangunkan lagi termasuk dari segi reka bentuk, pembungkusan serta paten sebelum dikomersialkan.

Di samping itu, katanya, pereka produk juga diberi pendedahan dan latihan berhubung aspek pemasaran.

"Pada asasnya, kami dapati hasil ciptaan mereka sudah ada di pasaran tetapi secara kecil-kecilan dan hanya dalam komuniti mereka sahaja.

"Kami tidak boleh membandingkan tapak komersialisasi mereka dengan yang dimajukan oleh organisasi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) atau syarikat multi-nasional.

"Untuk mencapai tahap pengeluaran besar-besaran, produk mereka perlu diperbaiki lagi", katanya sambil menambah YIM memerlukan lebih banyak dana untuk tujuan itu.

DANA KERAJAAN

Muhammad Aziph berkata sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, YIM bergantung kepada peruntukan kerajaan untuk membangunkan hasil ciptaan yang ditemuinya.

Meskipun YIM tidak mempunyai sebarang peruntukan khas untuk pelabur, yayasan itu masih memainkan peranan sebagai pemudah cara untuk membantu pereka memohon dana dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ini termasuk dari InnoFund dan TechnoFund serta badan lain seperti Cradle Fund Sdn Bhd.

Dengan pembiayaan sehingga RM500,000, InnoFund ialah skim bantuan untuk membiayai pembangunan produk baru atau yang sedia ada, proses atau perkhidmatan dengan elemen inovatif.

Skim ini terbuka kepada orang perseorangan, hak milik tunggal dan syarikat kecil serta mikro.

Technofund pula ialah skim bantuan untuk merangsang pertumbuhan inovasi dan syarikat Malaysia dengan meningkatkan tahap R&D serta komersialisasi.

Skim ini menawarkan sehingga RM3 juta untuk setiap projek.

TANGGAPAN GENERASI MUDA

Menurut Muhammad Aziph, generasi muda sering menganggap inovasi dihasilkan di makmal dan oleh ahli sains dan jurutera sedangkan sesiapa sahaja boleh menjadi pereka dan menghasilkan inovasi.

YIM akan terus mempromosi budaya inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia selaras dengan seruan untuk memperhebatkan usaha inovasi di negara dalam semua sektor dan peringkat masyarakat.

"Saya menyeru semua anak muda di negara ini untuk menyalurkan tenaga serta minat mereka kepada kegiatan inovasi, kreatif dan yang lebih bermakna", katanya.


Tags / Kata Kunci: Inovasi , Malaysia

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan