suria

Pak guard bertugas ganti rakan hairan blok sekolah, asrama meriah tengah malam! Cabut lari selepas dapat tahu pelajar sedang cuti

Pengawal keselamatan ini dikacau oleh 'makhluk mistik' pada hari pertama bekerja sebagai pengganti. -Gambar hiasan

SETIAP pelajar atau pekerja di sekolah berasrama pastinya pernah dimomokkan dengan kisah seram atau menakutkan.

Tidak terkecuali lelaki ini yang berdepan satu insiden di sebuah sekolah berasrama yang akan merindingkan bulu roma setiap kali diimbas kembali.

Tanpa menyatakan nama sekolah tersebut, dia yang hanya mahu dikenali sebagai Zack (bukan nama sebenar) berkata segalanya bermula apabila ditugaskan sebagai pengganti pengawal keselamatan.

Sekolah asrama yang lama sering menjadi tumpuan kisah mistik. -Gambar hiasan

"Sebenarnya aku bukanlah seorang yang berani sangat, ada juga perasaan takut tu.

"Apa yang aku nak kongsikan di sini adalah pengalaman first time aku pernah menjadi pengganti atau buffer sekuriti di salah sebuah sekolah asrama.

"Dipendekkan cerita, lewat petang aku dapat call dari seorang kawan yang dia minta tolong gantikan dia sekuriti shift malam, emergency ada hal penting katanya. Aku pun tanpa berfikir panjang setuju saja.

"Malam tu aku terus ke tempat sekolah tu, besar juga kawasan sekolah tu. Nampak biasa je dan tak ada fikir apa-apa pun," kata Zack membuka cerita.

Kisah seram di sekolah asrama sepertinya sudah menjadi tradisi. -Gambar hiasan

Zack seterusnya memulakan tugasannya iaitu meronda kawasan sekolah yang pada waktu itu di bawah pemantauannya.

"Tiba jam 2 pagi menandakan waktu rondaan di blok bangunan sekolah dan blok asrama. Aku dengan berbekalkan lampu suluh kecil terus berjalan menuju ke bangunan pentadbiran dan pejabat.

"Memang agak gelap dan suram sunyi sepi. Sekali-sekala macam-macam bunyi juga la kedengaran tapi untuk sedapkan hati yang kadangkala seram sejuk, aku anggap itu mungkin bunyi binatang yang melompat dan berjalan.

"Aku tengok ke dalam pejabat yang berkunci melalui pintu kaca, kelihatan ada satu komputer yang masih hidup, seolah-olah ada orang menaip sesuatu ke dalam paparannya.

"Tapi tempat duduk dan keyboard tu aku tak nampak, agak terlindung," kata Zack penuh misteri.

Setiap sekolah asrama mempunyai legenda kisah seram yang tersendiri. -Gambar hiasan

Ruang minda Zack mula diisi rasa takut kerana terdetik dalam fikirannya, pintu pejabat tersebut berkunci, bagaimana boleh ada orang di dalamnya?

"Terdetik di hati pintu pejabat kunci tak kan masih ada staff yang buat kerja lewat malam macam ni. Aku abaikan saja dan terus ke blok lain. Makin jauh aku meronda makin sunyi. Kini aku tiba aku di jalan koridor bangunan banyak kelas pelajar.

"Tiba-tiba aku terdengar bunyi macam budak-budak main kejar-kejar koridor tingkat atas. Aku pun terus suluh torch light dari bawah tapi tak ada apa pun. Mulalah aku fikir yang mengarut-ngarut ni.

"Aku pun cepat-cepat jalan laju sikit sambil dari jauh aku suluh bangunan atas tadi, aku nampak ada pelajar perempuan masih pakaian uniform sekolah berdiri memandang aku.

"Aku tak nampak wajahnya sebab dalam gelap lampu samar-samar saja. Dalam hati aku boleh tahan jugak budak-budak sini buasnya masih aktif tak tidur lagi," kata Zack.

Kisah misteri yang diturunkan dari senior di sekolah asrama boleh menyebabkan seseorang itu menjadi fobia. -Gambar hiasan

Zack dirundung kejanggalan yang tidak terkata apabila menyedari masih ramai pelajar di sekolah asrama tersebut yang belum tidur.

"Tiba di lokasi asrama pelajar. Aku ronda di kawasan luar pagar sahaja. Keadaan asrama gelap, aku menyuluh di setiap tingkap-tingkap blok asrama.

"Aku berasa hairan dan pelik kenapa pelajar-pelajar kat sini masih belum tidur lagi sebab aku tengok diaorang berdiri kaku dekat setiap tingkap melihat tajam ke arah aku. Aku rasa macam nak cepat habis saja waktu tu.

"Makin tak tentu arah fikiran aku. Dan last rondaan aku menuju ke dewan besar pelajar. Aku ternampak ada satu pintu dewan tu terbuka, aku pergi nak tutup pintu tu.

"Dalam cahaya lampu samar aku ternampak dalam dewan atas pentas tu sekumpulan pelajar lelaki dan perempuan duduk bertimpuh tapi diam senyap kaku," ujar Zack sungguh pelik.

Bermacam rupa lembaga yang boleh muncul di sekolah asrama untuk menakutkan pelajar-pelajarnya. -Gambar hiasan

Dunia Zack kemudiannya seakan-akan mahu punah apabila mendapat satu maklumat daripada rakan yang sepatutnya bertugas pada malam itu.

"Telefon pintar aku tiba-tiba berbunyi. Kawan aku tu yang call, dia maklumkan aku yang dia simpan kunci asrama dalam kotak simpanan sebab semua pelajar tak ada, diaorang dah balik rumah cuti seminggu.

"Ya Allah! Jantung aku macam nak gugur. Siapa 'mereka' yang aku tengok sepanjang rondaan ni!?

"Dari jauh aku melihat 'budak-budak' yang di atas pentas tu dengan perlahan-lahan mereka menoleh ke arah aku dan tangan mereka melambai-lambai ke arah aku.

"Aku jadi kaku dan tanpa sedar melepaskan telefon pintar kepunyaan aku sehingga terhempas jatuh ke lantai, langkah seribu dibuka. Aku memecut tanpa menoleh ke belakang lagi," kata Zack menoktahkan perkongsian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain