Dipercayai jelmaan wanita hamil maut dirogol... Langsuir Sungai Ular punca kenderaan masuk gaung - Mistik | mStar

Dipercayai jelmaan wanita hamil maut dirogol... Langsuir Sungai Ular punca kenderaan masuk gaung

Inilah Jalan Sungai Ular dari Kulim menuju ke Serdang, Kedah yang dikaitkan dengan kejadian misteri gangguan langsuir.

SEPERTI hari-hari biasa, seawal pukul 7 pagi Khairul sudah keluar dari rumahnya di Serdang, Kedah menuju ke Kulim Hi-Tech.

Sebagai supervisor di sebuah kilang di Taman Perindusstrian Teknologi Tinggi itu, Khairul biasanya akan pastikan sebelum pukul 8 pagi dia sudah sampai di tempat kerjanya.

Biasalah... Kilang orang Jepun, mestilah kena sampai tepat pada waktu. Nak pula Khairul, jawatannya penyelia.

Jarak antara Serdang ke Kulim tak jauh mana. Kalau naik motosikal dalam 30 minit boleh sampai.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengacara tak sedar kepulan asap keluar ketika kubur sedang digali

ARTIKEL BERKAITAN: Bau busuk dalam apartment beri petanda, Cameron Highlands aku tidak akan ke sana lagi!

Tengok juga keadaan cuaca. Sekiranya hujan, Khairul akan memandu kereta. Jika cuaca okay, naik motor lagi mudah.

Antara kemalangan yang berlaku di Sungai Ular, Kulim Kedah. Foto sekadar hiasan dari Facebook Info Kemalangan dan Bencana Malaysia.

Cuma, jalan raya tak beberapa cantik. Bengkang-bengkok macam ular kena palu. Sesuailah nama jalannya pun Sungai Ular.

Dah lima tahun Khairul berulang alik dari rumah ke tempat kerjanya melalui jalan Sungai Ular.

Itu sajalah laluannya dan tiada jalan lain. Keliling jalan ini terdapat estet getah dan kelapa sawit. Cumanya yang membuatkan Khariul risau seandainya dia perlu buat kerja lebih masa di kilangnya.

Selalunya dalam sebulan, ada dalam tiga atau empat kali dia habis kerja pukul 10 malam. Bukan apa… memikirkan nak lalu jalan Sungai Ular selepas 10 malam, hanya mereka yang betul-betul kuat semangat saja boleh ambil cabaran itu.

Pernah suatu malam Khairul nyaris terbabas kerana tidak dapat membrek semasa melalui satu selekoh kawasan gaung.

Mujurlah motosikal dibawanya tak laju ketika itu, sempat juga dia membelok. Kalau tidak, mungkin masuk gaung dan jadi ‘arwah’ la dia.

Tak akan ada manusia yang akan berjalan kaki tengah malam. Di kawasan estet pulak tu. Saya tahu… Ia bukan manusia… Ia jelmaan langsuir yang diperkatakan orang selama ini.

KHAIRUL

PENYELIA KILANG

“Dah lima tahun lalu jalan ni, susah nak agak kawasan mana ada selekoh tajam. Sebab laluan ni gelap. Tak ada lampu jalan. Cuma dekat kawasan perumahan estet saja sedikit cerah,” kata Khairul.

Selain kejadian nyaris terbabas itu, sudah beberapa kali juga Khairul melihat kelibat putih terbang di pohon getah menerusi samar-samar cahaya motosikalnya. Tapi dia tidak mengendahkan kerana sudah biasa selain dia sentiasa berhati-hati.

Kadang-kadang dia bimbang jika kelibat itu tiba-tiba membonceng motosikalnya tapi Alhamdulillah, ia tak pernah berlaku setakat ini dan minta dijauhkan.

Cuma kata Khairul kalau sebelum ini kelibat yang dilihatnya itu sekadar imej putih seolah-olah terbang di pohon rimba, cuma baru-baru ini ada sedikit pelik yang menyeramkannya.

Dia ternampak kelibat seorang wanita bersama anak berpakaian lusuh berjalan di tepi tebing tempat dia nyaris terbabas.

Dia tahu, itu bukan sembarangan kelibat. Ia adalah entiti yang diperkatakan orang sejak sekian lama.

“Tak akan ada manusia yang akan berjalan kaki tengah malam. Di kawasan estet pulak tu. Saya tahu… Ia bukan manusia… Ia jelmaan langsuir yang diperkatakan orang selama ini,” terang Khairul.

Beginilah keadaan kenderaan dipandu Allahyarham Muhammad Amir Abdullah yang terhumban ke dalam gaung di Sungai Ular. Jenazah Allahyarham ditemukan oleh orang awam selepas lima hari kehilangannya. Foto ini sekadar hiasan dari Facebook Info Kemalangan dan Bencana Malaysia.

Mengikut ceritanya, suatu ketika dahulu ada seorang wanita hamil dirogol dan mayatnya dibunuh di kawasan estet berkenaan. Jadi, sesiapa yang melalui kawsan itu akan diganggu kerana jenazahnya tidak aman.

Pernah juga sebuah keluarga dari Pulau Pinang yang melalui jalan itu ternampak kelibat putih meluncur laju turun dari lereng bukit di celah pokok-pokok getah lalu melintas di depan kenderaan mereka.

Mereka sekeluarga nyaris terbabas kerana terkejut melihat imej putih berambut panjang memegang tangan anak tiba-tiba melintas jalan.

Biasanya kemalangan berlaku apabila pemandu terkejut lalu mereka membrek dengan kuat membuatkan pemandunya tidak dapat mengawal kenderaan. Lalu kenderaan itu akan terbabas dan masuk ke dalam gaung.

Semuanya kerana gangguan kelibat wanita putih yang dipanggil langsuir sering mengganggu pengguna jalan raya Sungai Ular.

Sebab itulah laluan ini dianggap sebagai ancaman kepada pengguna jalan raya kerana kerap meragut nyawa manusia.

Terdapat banyak sejarah kemalangan maut dan kemalangan biasa di laluan itu.

Pada tahun 1980-an, sebuah kemalangan maut melibatkan dua buah bas kilang apabila salah satunya gagal memotong. Peristiwa itu menyebabkan beberapa pekerja kilang maut dalam keadaan ngeri.

Jalan Sungai Ular diliputi pokok kelapa sawit dan jalannya yang bengkang-bengkok juga antara penyebab kemalangan selain kisah mistik gangguan langsuir. Imej dirakamkan dari carian Google Map.

Dalam kejadian terbaharu misteri kehilangan kakitangan Jabatan Mekanikal Syarikat Air Darul Aman (SADA) Alor Setar iaitu Muhammad Amir Abdullah, 25, selepas lima hari terjawab apabila pihak polis menemui sebuah pikap dalam gaung di Sungai Ular pada 20 Januari lalu.

Kemalangan sering dikaitkan tentang laluan Sungai Ular yang tidak selamat dan ia sentiasa menghantui perasaan Khairul dan orang lain yang terpaksa melaluinya saban hari bagi mencari rezeki terutamanya pada waktu malam.

Ada orang bertanya, masih adakah lagi langsuir Sungai Ular walaupun suasana kawasan itu tidak begitu suram kerana adanya projek penanaman semula getah dan kelapa sawit?

Jawapannya ya… Langsuir itu masih ada dan akan terus mengganggu manusia namun ini semua hanyalah cerita-cerita orang. Sukar mempercayainya jika kita tidak mengalaminya sendiri.

Walau apa cerita kisahnya kita hendaklah memandu dengan berhemah dan pastikan kenderaan berada dalam keadaan sempurna terutamanya jika melalui jalan bengkang-bengkok dan kawasan hutan.

Apa-apa pun sebagai umat Islam kita diwajibkan mempercayai perkara ghaib namun dilarang sama sekali untuk berasa takut dengan makhluk halus kerana mereka diwujudkan memang untuk menyesatkan manusia.

Hanya dengan percaya kepada Allah tanpa meninggalkan amalan diperintahkanNya, nescaya seseorang itu akan sentiasa mendapat rahmat dan berada dalam peliharaan Allah.

Bagi mereka yang tidak dapat membayangkan suasana jalan Sungai Ular, mStar Online turut menyertakan video yang dirakamkan oleh orang awam ketika melalui laluan itu pada waktu malam.

Imej putih dalam video berkenaan dipercayai individu cuba menakutkan pengguna jalan raya atas tujuan jahat.

Panduan ketika melalui Jalan Sungai Ular, Kulim Kedah

1. Pastikan tidak melalui kawasan ini pada lewat malam kerana kawasannya sunyi dan bahaya jika kenderaan tiba-tiba rosak.

2. Tidak memandu kenderaan seorang diri di kawasan ini pada waktu malam.

3. Pastikan kenderaan dipandu perlahan kerana terdapat banyak selekoh berbukit di lereng-lereng gaung.

4. Tidak memberhentikan kenderaan jika melihat individu menahan di tepi jalan kononnya memerlukan bantuan kerana bimbang anda akan dirompak.

5. Haiwan ternakan seperti lembu dan hidupan liar melintas pada waktu malam yang boleh menyebabkan kemalangan.

6. Tiada stesen minyak kawasan ini. Pastikan minyak kenderaan mencukupi.

7. Kerap berlaku tanah runtuh dan pokok tumbang merentasi jalan. Jangan melaluinya ketika hujan dan ribut.

[Video di bawah hanyalah untuk memperlihatkan gambaran jalan Sungai Ular pada waktu malam dan imej dirakamkan tiada kaitan dengan langsuir dalam cerita ini]

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
Sungai Ular , Kulim , mistik , misteri , langsuir

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel