Kilauan cahaya bak kristal... Hanya yang ‘terpilih’ nampak kota ghaib Gunung Santubong - Mistik | mStar

Kilauan cahaya bak kristal... Hanya yang ‘terpilih’ nampak kota ghaib Gunung Santubong

Kanak-kanak bermain bola di pantai sambil berlatarbelakangkan Gunung Santubong yang tersergam indah. Foto: Bernama

SAMPAI sahaja di kawasan Santubong yang terkenal sebagai antara destinasi pelancongan di Sarawak, orang ramai pasti terpegun melihat Gunung Santubong yang tersergam indah.

Namun di sebalik keindahan gunung tersebut, tersimpan kisah misteri yang hanya diketahui oleh sesetengah warga Santubong, Pasir Salak dan Pasir Panjang sahaja.

Menurut cerita orang tua-tua di kawasan berkenaan, Santubong secara azalinya mempunyai sebuah kota ghaib yang didiami makhluk selain manusia.

Kota tersebut dikatakan dihuni golongan bunian dan jin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengunjung Pantai Pasir Pandak dirasuk jadi pendekar, jururawat hilang tidak ditemui

Kota itu kononnya berada di Gunung Santubong namun ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Kawasan pantai yang berlatar belakangkan Gunung Santubong.

Hanya orang yang mempunyai keistimewaan tersendiri saja dapat melihatnya, yang mana ia dikatakan cukup indah dan bercahaya seperti kristal.

Kota ini dikatakan dijaga dengan rapi oleh beberapa pengawal yang cukup handal dan tegas dalam kalangan bunian dan jin.

Mereka diberi amanah menjaga dan mengawasi kawasan kaki gunung hingga ke puncak gunung.

Sebab itulah kalau hendak mendaki Gunung Santubong perlu mematuhi setiap pantang larang yang ditetapkan.

Yang paling penting mulut jangan celupar dan jangan membuat sebarang kekotoran. Jika tidak, anda mungkin berdepan masalah yang tidak diingini.

Manakala di pantai-pantai sekitar Santubong seperti Pantai Damai, Pantai Pasir Panjang dan Pantai Pasir Pandak, ia juga dikatakan turut dihuni oleh makhluk-makhluk seperti jin.

Pemandangan cantik Gunung Santubong tapi di sebalik gunung itu terselit kisah misteri.

Mereka dikatakan diberi amanah untuk menjaga kawasan persekitaran pantai.

Jin-jin ini realitinya tidak mengganggu manusia.

Tetapi awas, anda janganlah buat perkara tak senonoh atau membuat sebarang jenis maksiat di pantai kerana jin mungkin akan marah dan menyebabkan mereka bertindak di luar dugaan.

Pernah terjadi seorang remaja dirasuk di situ, kerana dikatakan kencing di Pantai Pasir Panjang.

Lirik lagu Puteri Santubong

Puteri Santubong puteri sejenjang
Penjaga gunung negeri Sarawak
Manis sik ada dapat dilawan
Anak dak dewa turun kayangan

(syair)
Ooo… puteri santubong
Menenun kain… siang
Ooo… puteri sejenjang
Menumbuk padi… malam

Satu hari nya duak kelayi
Beranok-anok sik renti-renti
Sorang madah dirik bagus agik
Sorang sik ngalah sampei ke mati

Yalah kisah duak ‘rang puteri
Suka kelayi setiap hari
Lalu disumpah raja kayangan
Menjadi gunung Negeri Sarawak



Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
Gunung Santubong , misteri , bunian , mistik

Artikel Berkaitan

Artikel Lain