suria

Perhatian bakal pengantin! Jangan main tangkap muat, ketahui tip pelamin menawan

Idea untuk menghasilkan sebuah pelamin yang cantik perlu dititikberatkan agar gambar yang dirakam juga cantik dan menarik.

"AMBOI, cantik dan nampak berseri la pelamin dia"

Pengantin mana yang tidak mahu pelamin mereka mendapat pujian, lebih-lebih lagi selepas berhabis ribuan ringgit mengambil khidmat pakar dari butik mahupun perancang perkahwinan. 

Justeru, bakal pengantin sewajarnya mengambil bahagian dengan menyumbang idea untuk merealisasikan impian hari bersejarah lengkap dengan sebuah pelamin idaman, bukan hanya menyerahkan bulat-bulat kepada pihak lain atau lepas tangan sahaja.  

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih konsep perkahwinan Melayu sempoi, majlis dan pelamin DIY pengantin ini tetap lengkap segalanya! 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin ‘tenggelam’ dek gelagat bridesmaid, konon nak pegang, cakar suami... “Kami acah-acah je, bukan nak mengurat pun”

Ini kerana pelamin merupakan salah satu elemen penting yang menjadi tumpuan, kerana ia menjadi tempat utama untuk sesi bergambar.

Tentu sekali musim cuti umum dan cuti penggal persekolahan menjadi pilihan untuk meraikan pasangan raja sehari itu.

Berikut antara tip yang dikongsikan seorang jurugambar perkahwinan, Mohamad Hafiz Hashim buat panduan bakal pengantin.

1. Elakkan guna banyak warna.

Penggunaan tiga warna sahaja sudah cukup, dan yang paling digalakkan gunakan backdrop putih dan ditambah seri dengan bunga-bungaan atau dedaun hijau. 

Bijak memilih warna bunga dan backdrop akan menaikkan seri pelamin. Foto Instagram @lensacinta.photography

2. Tutup keseluruhan dewan. 

Bagaimanapun jika pelamin dipasang di dalam rumah dan ruang sempit, tutup bahagian kiri dan kanan pelamin.

3. Elak halakan spotlight ke muka.

Bagi yang menggunakan lampu spotlight, jangan halakan ke muka. Cahaya yang dipancar terus akan membuatkan pengantin silau waktu bersanding, sekaligus mencacatkan gambar. 

4. Gunakan satu warna untuk lampu pelamin.

Elakan lampu pelbagai warna, dan sangat tidak digalakkan menggunakan lampu yang jenis bertukar-tukar warna. Pelamin bukan fun fair.

5. Kerusi pelamin. 

Pastikan tiada bunga yang menghalang di sebelah kerusi. Ini akan memudahkan jurugambar mengambil group foto.

Susunan di pelamin perlu sesuai dan seimbang. Foto Instagram @lensacinta.photography

6. Bijak memilih warna pelamin.

Pengantin bebas memilih warna tema pelamin, namun perlu diingatkan jangan memilih warna  mirip dengan busana, bimbang anda bukan pengantin tetapi sesumpah!

7. Pilih ruang sesuai. 

Ini sangat penting jika pelamin dipasang di dalam rumah. Pastikan tiada tiang atau objek kekal yang menghalang di depan. Pastikan juga ruang pelamin bukan laluan utama seperti laluan ke dapur. 

Kebiasaannya pelamin di rumah dipasang di ruang tamu untuk ruang yang selesa dan luas. Foto Instagram @lensacinta.photography

8. Pencahayaan.

Adalah satu bonus jika pelamin yang mendapat sedikit pencahayaan semula jadi dari luar. 

9. Jangan susun hantaran betul-betul depan kerusi pelamin.

Ini bukan sahaja mencacatkan gambar, tetapi menyempitkan ruang. Sebaiknya sediakan meja atau ruang di bahagian tepi untuk meletak hantaran.

Pelamin, pengantin, tips

Artikel Lain