suria

Rai anak yatim Mesir, komuniti Malaysia selami erti kesusahan

Sukarelawan daripada pelbagai negara sama-sama meraikan kanak-kanak bersempena Hari Anak Yatim di Mesir.

SETIAP kali tibanya Jumaat pada minggu pertama April sangat ditunggu-tunggu anak-anak yatim di Mesir kerana mereka akan diraikan secara besar-besaran oleh masyarakat setempat sempena Hari Anak Yatim.

Kesempatan itu juga diambil penuntut Malaysia di negara itu untuk sama-sama meraikan anak-anak istimewa ini menerusi Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) cawangan negara itu.

Ini bukan kali pertama sukarelawan dan komuniti Malaysia bersama-sama menggembirakan kanak-kanak tersebut, malah ia sudah memasuki tahun ketiga.

Sukarelawan melayan kanak-kanak dengan memberi makanan dan minuman.

Malah tahun ini sahaja seramai 189 sukarelawan daripada 10 negara termasuk Indonesia, Singapura, Bangladesh, Korea, Somalia dan sebagainya turut serta dalam program tersebut.

Salah seorang peserta program tersebut, Nur'Aini Ahmad Zohri, 25, berkata, program kemasyarakatan itu diadakan selepas mengambil inspirasi daripada rancangan popular Bersamamu yang disiarkan di TV3 yang diberi nama Ehna Maak.

"Selepas melihat keadaan rakyat Mesir yang ramai di mana antara mereka hidup daif, kami terpanggil untuk membantu.


Lebih 189 sukarelawan daripada 10 buah negara tampil menjayakan program Ehna Maak. 

"Alhamdulillah pada tahun pertama kami dapat membantu ibu tunggal, anak yatim serta fakir miskin yang tidak bernasib baik.

"Ehna Maak sekali lagi kami anjurkan tahun lalu dan Alhamdulillah 2019 kami fokuskan pula pada sambutan Hari Anak Yatim dan ia melibatkan 2,000 kanak-kanak yang diraikan," katanya kepada mStar.

Belajar erti kesusahan serta memberi kepada golongan memerlukan

Meraikan kanak-kanak daripada 40 rumah perlindungan anak-anak yatim daripada kampung sekitar Bandar 10 Ramadan, Syarqiyyah bertempat di Pusat Sukan Kelab Ruwad, Ain memberitahu pada program itu mereka juga dapat melakukan beberapa aktiviti menyeronokkan.

Kanak-kanak turut mengambil peluang berselfie bersama sukarelawan.

Selain itu, mereka turut membawa barangan keperluaan seperti pakaian, anak patung serta mainan untuk anak-anak yatim yang masih kecil mengikut kesesuaian.

"Peserta juga sempat meluangkan masa bermesra dengan mereka selain mengadakan beberapa permainan seperti berebut kerusi, isi air dalam botol, lempar kertas dalam kotak, taman permainan, persembahan tradisional Mesir dan pelbagai lagi," katanya.

Sesuai dengan moto YDKMM Mesir iaitu “Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah”, sebanyak 100,000 Egyption Pound bersamaan RM25,000 telah diberikan kepada pihak pengurusan Nadi Ruwad untuk pembelian hadiah kepada 2,000 anak yatim yang hadir.

Aktiviti riadah yang diadakan bersama peserta.

Bercakap lanjut mengenai aktiviti kemasyarakatan itu, Aini berkata, tiada perasaan dapat digambarkan apabila melihat wajah kanak-kanak malang itu tersenyum lebar apabila menerima kunjungan orang luar melawat mereka.

Kata penuntut tahun satu Sarjana Tamhidi Universiti Al-Azhar itu, suasana di sana banyak mengajar setiap daripada mereka tentang erti kesusahan, memberi serta menggembirakan orang lain tidak kira apa juga status mereka.

"Program tersebut bukan sahaja dapat mengumpulkan komuniti Malaysia dalam sebuah program yang disifatkan berbentuk global, sebaliknya mampu mewujudkan suasana kekeluargaan dalam memberi sumbangan kepada masyarakat setempat.

Pelbagai aktiviti menyeronokkan diadakan.

"Pelajar di Mesir berjauhan dengan ibu bapa dan keluarga, manakala anak-anak yatim langsung tiada ibu bapa dan keluarga.

"Perkara ini sekaligus dapat membentuk sebuah pola fikir untuk sentiasa bersyukur, memberi dan menggembirakan orang lain tidak kira apa status mereka," katanya.

Selain itu, bersempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi pihak YDKMM Mesir turut menghadiahkan tanglung yang menjadi simbol Turath Islam dan adat di negara itu.

Malah menerusi projek ini, YDKMM Mesir juga bercadang membina sebuah sekolah khas dan hospital percuma selepas mendapat tanah daripada pihak kerajaan dibawah Bandar 10 Ramadan.

Artikel Lain